‘Kasih dan cinta hanya pada Umno’, Reezal harap ‘kepulangan’ KJ jadi kenyataan

‘Kasih dan cinta hanya pada Umno’, Reezal harap ‘kepulangan’ KJ jadi kenyataan

Namun ahli MKT berkata kemasukan semula bekas wakil rakyat Rembau itu ke dalam Umno adalah keputusan pimpinan atasan.

Reezal Merican Naina Merican menzahirkan harapan usaha membawa Khairy Jamaluddin kembali ke dalam Umno menjadi kenyataan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Reezal Merican Naina Merican menyifatkan Khairy Jamaluddin masih menaruh kasih dan kesetiaan mendalam terhadap Umno.

Reezal berkata, beliau sendiri bertemu bekas Ahli Parlimen Rembau itu baru-baru ini yang turut disertai Presiden Umno Zahid Hamidi dalam satu majlis perkahwinan di Perlis.

“Saya ada masa kenduri itu, saya ada sekali dengan dia, saya duduk dengan dia. Cuma satu benda saya boleh maklumkan memang kasih dan cinta Khairy ini hanya pada Umno sahaja. Itu saya boleh sahkan.

“Tapi (berkaitan dakwaan sertai semula Umno) bukan keputusan saya, keputusan pimpinan atasan dan keputusan MKT dan saya tidak bolehlah mendahului,” kata ketua Umno Kepala Batas kepada FMT.

Menerusi laporan Berita Harian, bekas menteri kesihatan itu dijangka kembali menyertai Umno menjelang PRN Sabah bulan depan selepas dikatakan mendapat ‘restu’ pimpinan tertinggi parti.

Sumber berkata, Zahid secara peribadi memberi isyarat restu itu kepada Khairy ketika mereka menghadiri majlis perkahwinan anak Ketua Umno Perlis, Rozabil Abdul Rahman, Ahad lalu.

Tetapi, sumber Umno berkata parti belum menerima sebarang permohonan daripada Khairy setakat ini.

Katanya, BN turut mempertimbangkan untuk menamakan Khairy sebagai calon BN bagi PRU16 di kerusi Parlimen Kepala Batas, kawasan pernah diwakili bapa mentuanya, Abdullah Ahmad Badawi.

Untuk rekod, pada PRU lalu Reezal bertanding di Parlimen Kepala Batas namun kalah kepada calon PN, Siti Mastura Muhammad.

Mengulas spekulasi Khairy mungkin bertanding di kerusi itu jika kembali ke pangkuan Umno, Reezal enggan mengesahkan perkara berkenaan.

“Itu pun saya tak dapat nak sahkan. Saya ini ahli parti kan…benda itu akan ditentukan oleh pimpinan di peringkat atas,” katanya.

Bagaimanapun, Reezal menzahirkan harapan usaha membawa Khairy kembali ke dalam Umno menjadi kenyataan.

FMT telah menghubungi Khairy dan masih menunggu maklum balasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.