
Menyambut baik kenyatan Anwar itu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata dalam situasi negara berdepan ketidaktentuan global ketika ini, semua pihak wajar mengetepikan perebutan kuasa dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kebajikan rakyat.
“Ketika ini negara sedang berhadapan dengan krisis yang besar, maka sewajarnya kita jangan terlalu memikirkan soal perebutan kuasa dan kedudukan semata-mata.
“Apa yang paling penting adalah pemimpin negara terus memberikan fokus kepada bagaimana memastikan rakyat mampu berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meruncing,” katanya yang dipetik Bernama sebagai berkata.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan Umno cawangan 2026 dan majlis jamuan Aidilfitri Umno Bahagian Lumut di Manjung, Perak.
Semalam, Anwar memberi bayangan bahawa PRU tidak akan diadakan dalam masa terdekat, sebaliknya menyeru semua pihak untuk terus bekerjasama dalam mencari penyelesaian ketika berdepan krisis tenaga global.
Beliau menegaskan, situasi semasa bukan berkaitan pertarungan politik, sebaliknya semua pihak perlu bersabar dan memberi tumpuan kepada usaha menangani cabaran negara.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata pendekatan yang disarankan perdana menteri mencerminkan nilai tanggungjawab dan keprihatinan tinggi terhadap realiti yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.
“Dalam konteks Barisan Nasional, pendirian kami jelas, iaitu memberi fokus kepada usaha terbaik untuk membantu rakyat.
“Ketika rakyat berdepan krisis, adalah lebih penting untuk kami memusatkan perhatian kepada soal kebajikan dan kesejahteraan mereka,” katanya.