Rahman berjiwa besar, beri laluan kepada pelapis, kata Naim

Rahman berjiwa besar, beri laluan kepada pelapis, kata Naim

Naim Kurniawan Moktar menyifatkan keputusan Abdul Rahman Dahlan melepaskan jawatan ketua Umno Tuaran sebagai langkah menyuburkan perjuangan parti di peringkat akar umbi.

Naim Kurniawan Moktar yakin kepimpinan Umno Tuaran boleh isi kekosongan ditinggalkan Abdul Rahman Dahlan.
PETALING JAYA:
Bekas menteri Abdul Rahman Dahlan disifatkan sebagai pemimpin berjiwa besar apabila sanggup melepaskan jawatan ketua Umno Tuaran bagi memberi ruang kepada pelapis meneruskan perjuangan parti.

Bendahari Pemuda Umno Naim Kurniawan Moktar berkata langkah itu mencerminkan sifat kepimpinan sebenar Abdul Rahman yang bersedia berundur demi membuka peluang kepada pemimpin akar umbi.

“Abdul Rahman ialah pemimpin sebenar kerana sanggup berundur dan memberi ruang kepada pelapis di peringkat akar umbi.

“Sudah tentu ketiadaan ketua bahagian akan sedikit sebanyak mengurangkan kekuatan parti di kawasan itu namun saya yakin barisan pimpinan lain mampu memikul tanggungjawab itu dengan baik secara bersama,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata beliau sebagai pemimpin dan wakil rakyat akan terus membantu rakan seperjuangan yang memerlukan sokongan demi memastikan Umno kekal kukuh di Sabah.

Semalam, Abdul Rahman mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua Umno Tuaran, namun kekal sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu menafikan keputusan itu berpunca daripada sebarang masalah dalam Umno Sabah, sebaliknya dibuat bagi memberi peluang kepada pemimpin baharu.

Menurutnya, dalam landskap politik semasa, Umno Sabah memerlukan pemimpin muda bagi memastikan kelangsungan parti.

Peletakan jawatan itu berkuat kuasa 1 April, dengan tempatnya dipangku Timbalannya, Norbaki Lamsari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.