Umno belum bincang dengan PKR mengenai hala tuju PRN Johor

Umno belum bincang dengan PKR mengenai hala tuju PRN Johor

Ahmad Maslan berkata, keputusan muktamad hanya akan ditentukan selepas rundingan bersama kepimpinan pusat dan negeri.

Ahmad Maslan berkata, pada PRN Johor akan datang, Umno dan BN perlu sasar pertahan sekurang-kurangnya 40 daripada 56 kerusi DUN Jyang kini dipegang oleh wakil rakyatnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno dan Barisan Nasional (BN) belum mengadakan sebarang perbincangan dengan PKR berhubung hala tuju bagi PRN Johor, kata Timbalan Ketua Umno Johor Ahmad Maslan.

Justeru, katanya, setakat ini, tiada keputusan muktamad dibuat memandangkan segala hala tuju hanya akan diputuskan selepas beberapa siri rundingan antara kepimpinan negeri dan pusat.

“Keputusan akhir tentu perlu rundingan bersama kepimpinan utama negeri dengan kepimpinan pusat yang diketuai presiden Umno dan pengerusi BN,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang meminta PKR Johor menggunakan saluran yang baik untuk berunding dengan parti lain dalam kerajaan perpaduan, termasuk Umno, bagi menghadapi PRN yang perlu diadakan selewat-lewatnya April tahun depan.

Anwar berkata, setiap rundingan juga perlu mengambil kira kekuatan sokongan yang dimiliki parti itu pada peringkat Parlimen.

Dalam pada itu, Ahmad berpandangan, Umno dan BN perlu mensasarkan untuk mempertahankan sekurang-kurangnya 40 daripada 56 kerusi DUN Johor yang kini dipegang oleh wakil rakyatnya.

Beliau berkata, usaha ke arah itu sedang giat dijalankan termasuk melalui gerak kerja parti pada peringkat akar umbi.

Beliau turut menegaskan, kerajaan negeri pimpinan Onn Hafiz Ghazi sedang bekerja keras dalam mengurus ekonomi serta menarik pelaburan, selain melaksanakan inisiatif kebajikan seperti Bantuan Kasih Johor (BKJ) untuk manfaat rakyat.

Pada PRN Johor ke-15, BN berjaya membentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 kerusi DUN.

Pakatan Harapan (PH) pula menang 12 kerusi, dengan 10 oleh DAP, dan PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi, manakala Perikatan Nasional menang tiga kerusi dan Muda memperoleh satu kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.