
Pengerusinya Mohamad Salim Fateh Din berkata berdasarkan semakan dan penjelasan dikemukakan, LPPR mengambil maklum keperluan pengisytiharan harta itu dengan jelas telah dikemukakan kepada ketua setiausaha negara.
Menurutnya, ia menepati arahan Pekeliling Perkhidmatan Awam selaras dengan kerangka tadbir urus perkhidmatan awam yang berkuat kuasa dan melalui saluran rasmi ditetapkan.
“Oleh itu mana-mana pihak digesa tidak membuat sebarang spekulasi menggambarkan seolah-olah wujud kegagalan pematuhan perlu dinilai berdasarkan fakta dan proses, bukan melalui persepsi dibentuk laporan tidak lengkap atau tidak seimbang.
“LPPR ingin menegaskan integriti SPRM sebagai sebuah institusi penguatkuasaan tidak boleh dihakimi melalui tohmahan atau naratif mengelirukan dan tidak berpandukan fakta.
“Apatah lagi apabila ia mengabaikan mekanisme semak dan imbang serta peranan badan pemantau bebas yang diwujudkan oleh undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Awal minggu ini, Bloomberg melaporkan dakwaan Azam memiliki 17.7 juta saham atau 1.7% dalam Velocity Capital Bhd, berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.
Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Perkara itu didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam hanya boleh memegang saham dalam syarikat diperbadankan di Malaysia jika pegangan itu tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau bernilai RM100,000, yang mana lebih rendah.
Azam dalam maklum balasnya semalam menyifatkan laporan agensi berita antarabangsa itu berniat jahat dan akan menghantar surat tuntutan.
Ketua agensi antirasuah itu berkata saham berkenaan dibeli dan dilupuskan pada tahun sama serta diisytiharkan secara telus.
Mengulas lanjut, Salim berkata ketelusan dan keprofesionalan SPRM kekal tertakluk kepada pemantauan berterusan oleh LPPR termasuk melalui penelitian laporan tahunan serta memberi ulasan dan pandangan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).
“LPPR akan terus melaksanakan tanggungjawabnya secara bebas, objektif dan beramanah, tanpa dipengaruhi oleh tekanan luar, demi memastikan SPRM kekal berfungsi dengan cekap, berintegriti dan diyakini rakyat,” katanya.