
Badan antirasuah itu menegaskan ia tidak akan mengulas dakwaan yang berunsur tohmahan dan bersifat spekulatif, serta melibatkan perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah atau tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
Katanya, sebarang dakwaan salah laku wajar dinilai melalui sistem perundangan dan proses keadilan, dan tidak boleh diadili melalui naratif media.
“Semua siasatan yang dijalankan oleh SPRM dilaksanakan dengan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang, berpandukan kepada bukti, serta dijalankan secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Sebarang keputusan berkaitan pendakwaan tertakluk kepada budi bicara pendakwaan dan kuasa kehakiman oleh Jabatan Peguam Negara serta sistem kehakiman, selaras dengan kerangka perundangan yang berasaskan prinsip pengasingan kuasa,” menurut kenyataan.
SPRM gesa pihak yang mempunyai bukti yang berasas dan sahih berkaitan rasuah atau salah laku supaya menyalurkan maklumat tersebut melalui saluran yang sewajarnya, bagi membolehkan penilaian dan tindakan diambil selaras undang-undang.
Awal minggu ini, Bloomberg melaporkan dakwaan Azam memiliki 17.7 juta saham atau 1.7% dalam Velocity Capital Bhd, berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.
Azam bagaimanapun menjelaskan saham berkenaan dibeli dan dilupuskan pada tahun sama serta diisytiharkan secara telus. Beliau juga berkata akan menghantar surat tuntutan.
Terdahulu hari ini, Bloomberg mendakwa kewujudan rangkaian longgar ahli perniagaan membeli saham syarikat tempatan sebelum mengugut pihak pengurusan, dengan bantuan pegawai SPRM, bagi memaksa mereka berundur.
SPRM menerangkan bahawa fungsi dan peranannya dikuatkuasakan oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, serta tertakluk kepada pemantauan oleh lima badan pemantau bebas.