Azam mula tindakan undang-undang terhadap Bloomberg

Azam mula tindakan undang-undang terhadap Bloomberg

Firma guaman kata semua saluran undang-undang akan digunakan terhadap laporan yang mendakwa Azam Baki memegang saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

Azam Baki
Firma guaman kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak melanggar sebarang undang-undang, peraturan atau keperluan perkhidmatan awam berhubung perkara dilaporkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPRM) Azam Baki memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg, bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung laporan yang mendakwa beliau memegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

Firma guaman, Zain Megat & Murad, memaklumkan semua saluran undang-undang akan digunakan terhadap laporan berkenaan, yang telah diulangi dan diterbitkan semula oleh pelbagai media lain, seterusnya mengakibatkan penyebaran meluas dakwaan berkenaan.

Firma itu berkata laporan, cadangan dan sindiran dalam artikel itu “mengandungi libel, tidak bertanggungjawab dan amat mengelirukan”, serta menyebabkan kecederaan serius pada Azam serta maruah, kredibiliti dan integriti institusi pejabatnya.

“Azam tidak melanggar sebarang undang-undang, peraturan atau keperluan perkhidmatan awam berhubung perkara yang dilaporkan.

“Pada setiap masa material, beliau mematuhi sepenuhnya semua kewajipan deklarasi aset yang terpakai ke atas penjawat awam.

“Sebarang perolehan dan seterusnya pelupusan saham berkenaan telah diisytiharkan sewajarnya menerusi saluran rasmi ditetapkan, termasuk Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia, sejajar keperluan jabatan perkhidmatan awam,” menurut kenyataan.

Menurut firma itu, saham yang dirujuk dalam laporan berkenaan telah dilupuskan sebelum penerbitan, dan boleh disahkan menerusi deklarasi dan rekod dokumen sedia ada.

Sementara itu, seorang peguam daripada firma tersebut, Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie, memaklumkan surat tuntutan telah dihantar ke ibu pejabat Bloomberg di New York dan Kuala Lumpur hari ini.

Beliau tidak boleh mendedahkan butiran lanjut mengenai surat tersebut, katanya ketika dihubungi.

Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7% berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.

Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Perkara ini dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.

Semalam Azam berkata beliau akan hantar surat tuntutan kepada Bloomberg berhubung artikel itu, menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan atau memiliki sebarang saham dalam pasaran pada masa ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.