
Menurut mereka, perkembangan utama seperti kejayaan rundingan ekonomi digital dan pencapaian diplomatik menjadi bukti pengaruh global Asean yang semakin utuh serta strategi yang siap untuk masa hadapan.
Penganalisis Jamil Ghani berkata, di bawah teraju Malaysia, Asean telah memulakan peralihan halus tetapi penting dalam hala tuju ekonominya. Beliau memberitahu FMT, blok serantau ini kini tidak lagi hanya menumpukan usaha mengurangkan halangan perdagangan, sebaliknya beralih kepada integrasi ekonomi yang lebih mendalam dan strategik.
Satu kejayaan besar ialah penyempurnaan 70% rundingan bagi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital.
Perjanjian bercita-cita tinggi ini disasarkan untuk melonjakkan ekonomi digital serantau kepada USD2 trilion menjelang 2030. Di samping itu, Asean turut melancarkan dua inisiatif ekonomi utama yang memberi isyarat peralihan ke arah kerjasama perindustrian yang lebih mantap.
Inisiatif pertama ialah penubuhan Pasukan Petugas Geoekonomi Asean bagi menyelaraskan tindak balas serantau terhadap tarif unilateral, gangguan rantaian bekalan dan risiko pelaburan untuk memperkukuh daya tahan ekonomi.
Inisiatif kedua pula ialah pelancaran Rangka Kerja untuk Inisiatif Berasaskan Projek Perindustrian Asean pada Mei 2025. Ia bertujuan memudahkan kerjasama pembuatan dan prasarana rentas sempadan, di samping melicinkan pergerakan barangan, bakat dan teknologi antara negara anggota.
Menurut Jamil, inisiatif-inisiatif ini menandakan kepengerusian Malaysia ‘mengemudi blok ini ke arah fasa baharu kerjasama ekonomi, yang tidak lagi ditentukan oleh liberalisasi pasaran, tetapi lebih kepada integrasi strategik’.
Kebijaksanaan diplomasi, kuasa penganjur
Para pemerhati memuji peranan diplomatik Asean yang semakin mantap pada 2025, apabila blok itu berjaya mengumpulkan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China, Brazil dan Afrika Selatan.
Bekas duta Ilango Karappunnam berkata, Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China pada Mei sebagai satu kejayaan yang gemilang.
Beliau menyifatkan sidang kemuncak itu sebagai satu saluran tiga penjuru baharu yang penting, menyatukan GCC yang kaya sumber dan China yang maju teknologinya, dengan Asean bertindak sebagai penghubung.
“Formulasi ini, hubungan tiga penjuru ini, amat menarik kerana ia menjanjikan banyak sinergi yang boleh dicapai,” kata Ilango, menegaskan pentingnya sidang kemuncak ini diteruskan pada masa akan datang.
Jamil berkata, kebijaksanaan diplomasi Malaysia paling terserlah melalui keupayaannya menyatukan pelbagai pihak di bawah satu rangka kerja sidang kemuncak. Malah, kepimpinan Asean berjaya membuahkan hasil melalui kenyataan visi bersama pemimpin Asean-AS dan menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA) 3.0, yang mengukuhkan lagi kerelevanan blok itu di persada dunia.
“Malaysia meletakkan Asean sebagai kuasa penghimpun yang berwibawa untuk pembentukan peraturan yang inklusif di tengah-tengah persaingan kuasa besar yang semakin sengit dan realiti ekonomi global yang berubah-ubah,” kata Jamil.
Peluasan keanggotaan, penyelesaian konflik
Kepengerusian Malaysia tahun ini turut menyaksikan pencapaian penting dalam keterangkuman serantau dan usaha damai.
Satu perkembangan besar ialah penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 Asean, iaitu pembesaran pertama blok itu sejak 1990an. Langkah ini bukan sahaja menambah kepelbagaian Asean tetapi juga memperkasa suara kolektifnya di pentas dunia.
Pada masa sama, Perjanjian Kuala Lumpur, hasil perantaraan antara Kemboja dan Thailand, berjaya membawa kepada perjanjian gencatan senjata yang mampan. Ini menjadi satu detik bersejarah dalam penyelesaian konflik serantau, sekali gus mengukuhkan peranan Asean sebagai orang tengah di Asia Tenggara.
Kesimpulannya, kepengerusian Malaysia telah memacu Asean ke era baharu, yang dicirikan oleh integrasi ekonomi strategik, diplomasi yang mantap, dan keterangkuman yang lebih meluas.
Penyertaan Timor-Leste dan kejayaan rundingan damai antara Kemboja dan Thailand menjadi bukti nyata pengaruh serta keupayaan Asean yang kian berkembang untuk mencetuskan perubahan positif.
Menyongsong masa hadapan, keupayaan Asean untuk menyesuaikan diri, berintegrasi dan menyatukan pelbagai pihak berkepentingan akan terus menjadi kunci utama kepada kerelevanan dan kepimpinannya di pentas dunia.