Malaysia sokong pembangunan AI, namun perlu patuh etika

Malaysia sokong pembangunan AI, namun perlu patuh etika

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan pertumbuhan dipacu AI tidak boleh abaikan nilai kemanusiaan dan jejas alam sekitar.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim menekankan aspek etika dan nilai kemanusiaan dalam pembangunan AI ketika berucap pada sesi kedua Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec di Gyeongju, Korea Selatan. (Gambar Bernama) 
GYEONGJU:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia menyokong penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara meluas, namun mengingatkan kemajuan itu tidak boleh mengorbankan nilai moral dan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata Malaysia kini giat memanfaatkan AI untuk memperluas pengetahuan, mempercepatkan inovasi, dan membuka ruang kepada industri baharu.

“Kita alu-alukan pelaburan pusat data, pembangunan kapasiti digital, dan peluang pekerjaan baru yang akan muncul,” katanya dalam pada sesi kedua Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec di sini hari ini.

“Tetapi kemajuan itu tidak boleh dibayar dengan kerosakan alam sekitar atau mengabaikan nilai kemanusiaan.”

Anwar turut menyeru negara anggota Apec memainkan peranan utama dalam memastikan pembangunan AI berjalan seiring dengan komitmen kelestarian dan masa depan generasi muda.

Beliau menyatakan kebimbangan bahawa sebahagian anak muda masa kini semakin hilang pegangan nilai, kejelasan dalam keadilan, dan rasa kemanusiaan.

“Matlamat kita bukanlah sebuah dunia di mana mesin menentukan hala tuju hidup kita.

“Sebaliknya, kita mahukan masa depan di mana AI memperkukuh kreativiti manusia, mengukuhkan masyarakat, dan memperkaya jiwa manusia,” katanya.

Malaysia kini mengembangkan penggunaan AI dalam pelbagai sektor termasuk kewangan, pembuatan, kesihatan dan pembangunan bandar pintar.

Antara contoh yang menonjol ialah pelaburan bersama YTL Power International Berhad dan Nvidia yang berjaya menyiapkan pusat data berasaskan Nvidia pertama di Kulai, Johor.

Kerajaan juga telah memperuntukkan hampir RM5.9 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RCDI) dalam bidang AI.

Antara inisiatif utama ialah RM2 bilion untuk AI Cloud, RM30 juta bagi memperkukuh keselamatan siber, potongan cukai 50% untuk PKS yang melabur dalam latihan berkaitan AI dan keselamatan siber, serta program seperti Geran Pemecutan Digital Malaysia bernilai RM53 juta untuk merangsang inovasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.