Hak Bumiputera dilindungi dalam ART, kata Tengku Zafrul

Hak Bumiputera dilindungi dalam ART, kata Tengku Zafrul

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri cabar pihak dakwa syarikat AS diberi status Bumiputera di bawah ART kemuka klausa khusus.

Tengku Zafrul Aziz
Aziz berkata, dalam ART, kerajaan Malaysia dan AS komited tegak kedaulatan negara masing-masing berdasarkan hubungan ekonomi 2 hala yang utuh dan kekal. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Hak Bumiputera adalah antara garisan merah yang sentiasa dilindungi sepanjang rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.

Beliau menegaskan, hak Bumiputera langsung tidak terjejas dalam perjanjian tersebut.

“Oleh itu, saya nak cabar (pihak yang mendakwa) untuk mengemukakan klausa khusus yang memberikan syarikat AS status bumiputera dalam ART,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat Mesyuarat Kaukus Khas Parlimen mengenai ART Malaysia-AS hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan segelintir pihak kononnya perjanjian ART memberikan status Bumiputera kepada syarikat AS.

Tengku Zafrul turut menafikan dakwaan bahawa ART menggadai kedaulatan negara.

Katanya, kerajaan Malaysia dan AS menekankan nilai kebersamaan mereka termasuk komitmen terhadap kedaulatan, kemakmuran ekonomi dan rantaian bekalan yang berdaya tahan dalam perjanjian itu.

“Ini bermakna kedua-dua kerajaan komited untuk menegakkan kedaulatan masing-masing berdasarkan hubungan ekonomi dua hala yang utuh dan juga kekal.

“Oleh itu, apabila kita membaca semua klausa dalam perjanjian ini, perlu mengambil kira bahawa ia mesti menegakkan kedaulatan (negara) masing-masing.

“Itu sebabnya, jangan membaca perjanjian ini sekerat-sekerat, perlu baca secara keseluruhan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.