Mahkamah perintah TNB bayar RM30,000 kepada pekerja kilang

Mahkamah perintah TNB bayar RM30,000 kepada pekerja kilang

Laporan perubatan dikemukakan di mahkamah menunjukkan kes itu mengakibatkan Eazrie Hafizie Aris menghidap penyakit kemurungan.

mahkamah klang
Hakim Mahkamah Sesyen Nurul Mardhiah Redza menolak tuntutan TNB dengan kos RM7,000.
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Klang semalam menolak saman kedua Tenaga Nasional Bhd (TNB) terhadap seorang pekerja kilang atas dakwaan mengubah suai meter elektrik, dan memerintahkan syarikat utiliti itu membayar jumlah keseluruhan RM30,000 bagi penderitaan dan kesukaran ditanggung kesan prosiding undang-undang berkenaan.

TNB sebelum ini telah mengemukakan saman ke atas Eazrie Hafizie Aris pada 2021, menuntut RM197,131 atas dakwaan mengubah suai meter elektrik.

Eazrie menafikan liabiliti tersebut dan memfailkan tuntutan balas terhadap TNB kerana didakwa cuai menuduhnya.

Peguamnya, Esmael Shah Shahrudin, memberitahu FMT bahawa antara laporan perubatan dikemukakan di mahkamah menunjukkan saman kedua TNB itu telah mengakibatkan anak guamnya mengalami penyakit kemurungan, termasuk fikiran untuk membunuh diri.

Peguam Esmael Shah Shahrudin bersama anak guam, Eazrie Hafizie Aris.

Menurut Esmael, Hakim Mahkamah Sesyen Nurul Mardhiah Redza memutuskan memihak kepada Eazrie dan menolak tuntutan TNB dengan kos RM7,000.

Namun, mahkamah menolak tuntutan balas kecuaian oleh Eazrie, dengan kos RM7,000.

TNB diwakili peguam Raja Saidatul Akhma Raja Lope dan Nabilah Jasmine Zainal Ariff.

Terdahulu, Esmael berhujah TNB telah melakukan kesilapan menyaman anak guamnya atas dakwaan ubah suai meter elektrik.

Beliau berkata, Eazrie tidak pernah membuka akaun TNB bagi bekalan elektrik melibatkan bangunan kedai dua tingkat yang dikenakan caj berkenaan, malah Eazrie bukan penyewa mahupun pemilik bangunan itu.

Esmael berkata, Eazrie telah kehilangan kad pengenalannya pada Julai 2017 dan telah membuat tujuh laporan polis berhubung perkara itu. Dia turut menyatakan pemilik premis tersebut tidak mengenali Eazrie.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan TNB merayu terhadap pampasan ganti rugi RM30,000 diputuskan Mahkamah Majistret memihak kepada Eazrie dalam saman pertama. Mahkamah menetapkan 9 April 2026 sebagai tarikh perbicaraan bagi rayuan tersebut.

Dalam saman pertamanya, TNB menuduh Eazrie mengubah suai meter dan menuntut pembayaran caj elektrik RM26,811.75.

Mengulas mengenai keputusan mahkamah semalam, Esmael berkata anak guamnya berpuas hati dengan jumlah pampasan dianugerahkan.

“Sebelum saman pertama lagi, anak guam saya cuba menyelesaikan perkara ini secara baik dengan meminta TNB menarik balik saman itu. Tetapi, mereka menolak.

“Malah, mereka juga enggan menarik balik saman kedua. Empat tahun diambil untuk membersihkan namanya.

“Ini adalah peringatan kepada TNB untuk memastikan hanya pihak yang betul disaman.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.