Bekas pengawal keselamatan bakal meringkuk 32 tahun kerana rogol, serangan seksual

Bekas pengawal keselamatan bakal meringkuk 32 tahun kerana rogol, serangan seksual

Mahkamah Rayuan kata kesalahan dilakukan terhadap tiga gadis berbeza pada masa berlainan.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman ke atas A Johnson berzsabit kesalahan rogol dan serangan seksual melibatkan tiga gadis bawah umur.
PUTRAJAYA:
Seorang bekas pengawal keselamatan berusia 56 tahun bakal meringkuk di penjara selama 32 tahun selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya terhadap hukuman itu, bersabit kesalahan rogol dan serangan seksual melibatkan tiga gadis bawah umur, lima tahun lalu.

Sidang tiga hakim dipengerusikan oleh Azmi Ariffin memutuskan Mahkamah Tinggi betul apabila memerintahkan hukuman bagi A Johnson dijalankan secara berturutan.

“Kesalahan-kesalahan tersebut dilakukan terhadap tiga gadis yang berbeza pada masa yang berlainan dan mengikut undang-undang sedia ada, perayu harus menjalani hukuman tersebut secara berturutan,” katanya.

Meskipun sudah berusia, bapa kepada lima anak itu — yang mempunyai lima sabitan lampau termasuk satu kesalahan mencabul kehormatan — juga akan menerima sembilan sebatan, memandangkan lelaki berusia lebih 50 tahun tidak dikecualikan daripada hukuman sebat dalam kes serangan seksual.

Hakim Azmi bersidang bersama Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Meor Hashimi Abdul Hamid.

Terdahulu, M Manoharan selaku peguam menggesa mahkamah memerintahkan pemenjaraan dijalankan secara serentak. “Lagipun, dia akan disebat. Dia juga menghidap kencing manis,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail bagaimanapun meminta sidang hakim mengekalkan hukuman, memandangkan kesalahan melibatkan tiga mangsa berasingan, dan berlaku pada waktu siang.

Menurutnya Johnson mengancam gadis-gadis tersebut dengan sebilah pisau untuk memuaskan nafsunya, dan mencederakan salah seorang mangsa.

“Tindakannya telah mengakibatkan trauma dan meninggalkan parut psikologi pada mangsa-mangsa sepanjang hayat,” katanya.

Johnson disabitkan kesalahan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, 25 Feb 2020.

Dia juga didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap seorang lagi gadis berusia 14 tahun pada kira-kira jam 3 petang, 22 April 2020; dan melakukan kesalahan yang sama terhadap seorang gadis berusia 16 tahun pada kira-kira jam 4 petang, 7 Ogos 2021.

Ketiga-tiga kesalahan tersebut dilakukan di dalam lif di sebuah flat kos rendah di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan rotan bagi setiap kesalahan, serta memerintahkan hukuman dijalankan secara serentak.

Susulan rayuan pihak pendakwaan, Mahkamah Tinggi meningkatkan hukuman penjara Johnson bagi kes rogol kepada 12 tahun dan mengekalkan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan serangan seksual.

Mahkamah Tinggi turut memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara berturutan, maka Johnson akan menjalani hukuman selama 32 tahun di sebalik tirai besi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.