Pemandu terlibat kemalangan maut di Klang didakwa esok

Pemandu terlibat kemalangan maut di Klang didakwa esok

Pemandu tersebut didapati berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah ketika kejadian.

pemandu mabuk klang
Pemandu yang terlibat dalam kemalangan maut yang mengorbankan seorang penunggang motosikal di Klang pada Ahad lalu di bawa ke Mahkamah Majistret Klang untuk perintah reman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemandu yang terlibat dalam kemalangan maut yang mengorbankan penunggang motosikal Amirul Hafiz Omar, di Klang pada Ahad akan didakwa di Mahkamah Sesyen Klang esok.

Pemandu tersebut, yang ditahan dan direman sehingga Khamis, didapati berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah ketika kejadian.

Ketika dihubungi, pegawai penyiasat berkata pemandu itu akan didakwa pada 8.30 pagi. Bagaimanapun, beliau tidak pasti di bawah peruntukan undang-undang mana pertuduhan akan dibuat.

Pemandu itu sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang menjadikan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh berdepan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Dalam rakaman video tular menunjukkan sebuah kereta memotong di lorong bertentangan sebelum merempuh motosikal Amirul menyebabkan mangsa melambung ke udara dan terjatuh di atas sebuah kenderaan lain.

Amirul, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pekerja gudang dan penunggang penghantaran sambilan itu meninggalkan seorang isteri, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak – Aqif Amsyar (9), Atif Izz Rayqal (7), dan Nur Humaira (2).

Kejadian itu mendapat perhatian orang ramai, dengan Kementerian Pengangkutan mencadangkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah yang memandu mabuk membayar pampasan kepada keluarga mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.