
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat keretakan dalam Bersatu kelihatan tidak boleh dibaiki.
Katanya, perbalahan dalaman semakin teruk selepas pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
“Mereka dimusuhi kerana berada dalam kem Hamzah. Keadaan tidak akan berubah sama ada Bersatu diketuai Hamzah atau Muhyiddin,” katanya kepada FMT.

Azmi mengulas gesaan Wan Fayhsal agar Hamzah menerajui Bersatu dan PN menjelang PRN Sabah bagi menjamin kestabilan yang lebih besar.
Azmi berpendapat, Hamzah sebagai presiden parti akan memberikan Bersatu ‘hala tuju yang lebih jelas’.
Situasi itu akan beri manfaat kepada PN kerana PAS dilihat lebih suka bekerjasama dengan Hamzah, yang dianggap lebih bertolak ansur.
“Hamzah lebih mudah untuk berbincang, manakala Muhyiddin sukar berganjak daripada hala tuju yang beliau tentukan,” katanya.
Azmi bagaimanapun menjangkakan perubahan kepimpinan tidak mungkin berlaku sebelum PRN Sabah, yang jatuh pada 29 Nov.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, sokongan akar umbi kepada Hamzah semakin meningkat, melihat pada sokongan 120 daripada 197 bahagian dalam Perhimpunan Agung Bersatu.

Beliau berkata, Hamzah yang ‘lebih muda, lebih bertenaga, dan dinamik’ berpotensi menyatukan Bersatu, manakala jentera PAS yang tersusun rapi dapat membantunya mengukuhkan rangkaian kempen PN.
“Kekuatan PN bergantung pada PAS, kerana parti itu memiliki jentera dan sokongan akar umbi yang kuat. Dengan sokongan PAS, Hamzah (sebagai ketua PN) tidak akan menghadapi masalah menggerakkan jentera,” katanya.
Namun, Mazlan menjangkakan Hamzah akan menghadapi tentangan kuat dari dalam.
Katanya, tindakan terhadap Wan Saiful dan Wan Fayhsal menunjukkan bahaya mendesak peralihan kepimpinan.
“Pengaruh Muhyiddin masih utuh dan penyokongnya masih mengawal parti,” katanya.

James Chin dari University of Tasmania bersetuju, Hamzah akan menstabilkan PN jika mengambil alih gabungan itu, memandangkan PAS kelihatan menyukainya berbanding Muhyiddin.
Beliau menekankan ‘kuasa sebenar’ PN adalah PAS.
“Realitinya, enjin pilihan raya PN digerakkan oleh PAS. Tanpa PAS, ia akan menjadi sukar,” katanya.