PN terbukti, pemimpin Bersatu kata tak perlu hidup semula MN

PN terbukti, pemimpin Bersatu kata tak perlu hidup semula MN

Ketua Penerangan Pemuda Harris Idaham Rashid juga kata Ikatan Prihatin Rakyat akan jadi 'model politik baharu'.

bendera PN perikatan nasional
Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid kata tiada keperluan menghidupkan kembali MN kerana PN terbukti popular. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Pemuda Bersatu berpandangan tiada keperluan menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRU16, di sebalik usaha Perkasa dan beberapa NGO lain.

Ketua Penerangan Harris Idaham Rashid berkata PN sudah membuktikan ia mampu meraih sokongan pengundi Melayu terutama pemuda, berdasarkan prestasi PRU 2022 dan PRN 2023.

Harris Idaham Rashid
Harris Idaham Rashid.

“PN tampil sebagai gabungan politik yang sudah mendapat kepercayaan ramai,” katanya.

Katanya lagi, Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang menghimpunkan PN dan beberapa parti pembangkang lain dalam suatu pakatan longgar akan menjadi ‘model politik baharu’.

“IPR berjaya menyatukan parti-parti pembangkang dan sudah mendapat ‘traction’. Desas-desus kuat mengatakan parti komponen Barisan Nasional (BN) akan menyertai,” katanya.

Terdahulu, Presiden Perkasa Syed Hassan Syed Ali memaklumkan pihaknya bersama 16 NGO lain berharap Umno menghidupkan semula MN atau bekerjasama dengan PN, serta tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada PRU16.

Harapan itu disampaikan dalam pertemuan dengan pimpinan Umno termasuk Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki, semalam, di sebalik pergolakan yang melanda Bersatu mutakhir ini.

Harris bagaimanapun mengingatkan MN gagal kerana Umno hanya ingin bekerjasama dengan PAS.

“PAS bertegas untuk tidak meneruskan kerjasama MN sekiranya Bersatu tidak bersama,” katanya.

Harris juga percaya PN akan dapat mengambil alih ‘sejumlah besar’ kerusi Umno sekiranya parti itu bekerjasama dengan DAP.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin, berkata partinya menyeru kepada perpaduan ummah.

“PAS dari sudut prinsipnya menyeru kepada perpaduan ummah bagi memastikan kedaulatan negara bangsa melalui kerangka Perlembagaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.