Norza dilantik pengerusi suruhanjaya etika Persatuan Sukan Perpaduan Islam

Norza dilantik pengerusi suruhanjaya etika Persatuan Sukan Perpaduan Islam

Suruhanjaya itu bertanggungjawab menyelia kelakuan etika dan tadbir urus pertubuhan sukan yang memupuk perpaduan, persahabatan, dan kerjasama antara negara Islam.

norza zakaria
Pelantikan Norza Zakaria ke suruhanjaya etika ISSA dipersetujui Presiden ISSA, Putera Abdulaziz Turki Al-Faisal. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Norza Zakaria dilantik sebagai pengerusi suruhanjaya etika Persatuan Sukan Perpaduan Islam (ISSA), sebuah badan yang beroperasi bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Dengan pelantikan ini, Norza menjadi sebahagian pertubuhan sukan antarabangsa yang memupuk perpaduan, persahabatan, dan kerjasama antara negara Islam melalui sukan, dengan matlamat memperkukuh kesatuan dan memajukan pembangunan sukan.

Pelantikan ini pengiktirafan terhadap pengalaman luas, integriti, dan komitmen teguh Norza terhadap prinsip etika dan tadbir urus sukan yang baik, menurut MOM dalam kenyataan.

Suruhanjaya etika yang baru ditubuhkan ini bertanggungjawab menyelia perkara berkaitan kelakuan beretika dan tadbir urus, bagi memastikan kelestarian, keberkesanan, dan integriti pergerakan sukan Islam, terutama Temasya Sukan Perpaduan Islam, yang mendapat penyertaan tinggi dari semua 57 jawatankuasa Olimpik kebangsaan yang menganggotai ISSA.

Suruhanjaya yang dipengerusikan Norza ini akan dibantu oleh dua tokoh, iaitu Ketua Jabatan Belia dan Sukan OIC, Boubakari Maiga; dan Ahli Lembaga Pengarah Jawatankuasa Olimpik Bahrain, Hussa Khalid Al-Khalifa.

Pelantikan Norza mendapat dipersetujui Presiden ISSA, Putera Abdulaziz Turki Al-Faisal, dan berkuat kuasa semalam.

Selain memimpin MOM, Norza turut memegang beberapa jawatan penting dalam arena sukan, termasuk naib presiden Majlis Olimpik Asia bagi zon Asia Tenggara, presiden kehormat Badminton Asia, ahli majlis Persekutuan Badminton Dunia, dan presiden kehormat seumur hidup Persatuan Badminton Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.