Sukan menyatukan rakyat Malaysia, kata PM

Sukan menyatukan rakyat Malaysia, kata PM

Presiden Majlis Olimpik Malaysia Norza Zakaria berkata Rumah Olimpik baharu bakal menjadi ibu pejabat sukan pertama di Malaysia yang menggunakan tenaga hijau.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim (tengah) pada majlis pecah tanah Rumah Olimpik, diapit Norza Zakaria (kiri) dan Hannah Yeoh (kanan).
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengulangi sukan mampu menjadi platform menyatukan rakyat Malaysia merentasi sempadan etnik dan budaya yang akhirnya mencapai satu matlamat.

“Sama ada dalam bola sepak atau badminton, semua orang berkumpul dan mahukan satu perkara – pasukan mereka menang,” katanya.

“Tidak kira sama ada mereka Melayu atau Cina, Dayak atau India. Mereka adalah rakyat Malaysia.”

Anwar berkata demikian pada majlis pecah tanah Rumah Olimpik, yang akan menjadi ibu pejabat baharu untuk Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Malaysia.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim memuji Norza Zakaria kerana telah berusaha gigih memastikan Rumah Olimpik dapat dibina.

Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Norza Zakaria.

Pada Jun tahun lalu, Anwar pernah menyatakan bahawa minat bersama dan semangat berpasukan yang terhasil melalui sukan mampu merapatkan jurang antara komuniti bandar dan luar bandar, serta mengatasi perbezaan kaum serta agama.

Hari ini, perdana menteri membandingkan keakraban yang wujud dalam dunia sukan dengan perpecahan yang berlaku dalam dunia politik.

“Dalam politik, orang cenderung ‘membunuh’ satu sama lain,” katanya dengan nada kesal, merujuk kepada ketiadaan semangat kesukanan dalam wacana politik.

Mengulas mengenai Rumah Olimpik, Anwar berkata kompleks baharu itu bukan sahaja akan menarik minat peminat sukan, malah membabitkan masyarakat umum khususnya golongan belia.

Beliau berharap lebih 50 pertubuhan sukan yang bernaung di bawah satu bumbung dapat menjalinkan kerjasama dan dialog membina.

“Mereka mesti memberi idea, cadangan dan kritikan untuk memperkasakan sukan Malaysia,” katanya.

Perdana menteri turut memuji Norza atas dedikasinya dalam memastikan projek ini direalisasikan.

Sementara itu, Norza berkata projek bernilai RM93 juta oleh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) berkenaa melalui perjanjian pertukaran tanah, dijangka siap dalam tempoh 24 hingga 36 bulan.

Menurut Norza, Rumah Olimpik itu akan menjadi ibu pejabat sukan pertama di Malaysia yang menggunakan tenaga hijau dan direka untuk manfaat manusia dan alam sekitar.

“Apa yang menjadikan projek ini lebih bermakna adalah pendekatan pembinaannya. Ia akan menjadi sebuah bangunan yang bukan sahaja memberi khidmat kepada manusia, malah menghormati alam sekitar pada masa sama.”

Katanya, kompleks itu akan menggunakan bahan mampan serta dilengkapi ciri-ciri kecekapan tenaga, termasuk panel solar, pencahayaan pintar dan pengudaraan semula jadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.