
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Norza Zakaria dalam perutusan tahun baharu mengimbau 2025 dengan merakamkan penghargaan kepada atlet dan pegawai atas usaha meletakkan asas kukuh menjelang kalendar antarabangsa yang mencabar.
“Kini kita mengalihkan tumpuan kepada 2026, tahun penting yang sarat dengan cabaran dan peluang di pentas global. Misi teras kita pada tahun ini tertumpu kepada dua temasya sukan, iaitu Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada Julai serta Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun pada Oktober.
“Ini bukan sekadar pertandingan, ia merupakan medan ujian terbesar. Kita mesti bawa momentum dari Sukan SEA Thailand 2025 ke Scotland dan Jepun, sekali gus membuktikan bahawa kita mampu bersaing dengan yang terbaik di dunia,” katanya dalam video di media sosial MOM, semalam.
Beliau menekankan pembangunan atlet jangka panjang, serta penyertaan Malaysia dalam Sukan Olimpik Remaja di Dakar, Senegal dari akhir Oktober hingga pertengahan November tahun ini, yang merupakan kejohanan pertama dianjurkan di Afrika.
Norza berkata usaha bersepadu sepanjang 2026 selaras persiapan Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 pada 2027, di samping meneruskan usaha jangka panjang negara untuk meraih pingat emas Olimpik pertama.
“Kami sedang membina perkara penting yang akan memacu kita ke arah penganjuran Sukan SEA ke-34. Selain itu, setiap kejayaan menaiki podium pada tahun ini membawa kita selangkah lebih dekat kepada aspirasi nasional tertinggi, iaitu meraih emas Olimpik pertama negara pada Los Angeles 2028,” katanya.
Beliau menyeru seluruh warga sukan agar terus bersatu, berdisiplin dan fokus ketika Malaysia meneruskan peningkatan prestasi di pentas sukan antarabangsa.
Sementara itu, antara pencapaian pada tahun lepas yang diingati ialah prestasi Malaysia di Sukan Belia Asia di Bahrain apabila kontinjen negara mengutip 12 pingat, iaitu satu emas, dua perak dan sembilan gangsa, diikuti tiga pingat gangsa pada Sukan Perpaduan Islam di Riyadh.
Norza memuji pencapaian cemerlang kontinjen negara pada Sukan SEA di Thailand, apabila Malaysia mengumpul sebanyak 231 pingat terdiri daripada 57 emas, 57 perak dan 117 gangsa, iaitu kutipan pingat tertinggi negara dalam sejarah penyertaan Sukan SEA yang diadakan di luar Malaysia.
“Ini merupakan kutipan pingat tertinggi kita dalam sejarah Sukan SEA yang diadakan di luar Malaysia, membuktikan semangat harimau tetap mengaum dengan gagah, tidak kira di mana kita bertanding,” katanya.