Prestasi SPM kekal stabil walaupun UPSR, PT3 dimansuh

Prestasi SPM kekal stabil walaupun UPSR, PT3 dimansuh

Analisis keputusan pada 2023 dan 2024 tunjuk pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu tidak beri impak negatif terhadap prestasi SPM, kata timbalan menteri pendidikan.

sekolah student
UASA yang menggantikan UPSR dan PT3 kekal berpandukan spesifikasi dan standard ditetapkan Lembaga Peperiksaan, membolehkan guru nilai prestasi murid secara menyeluruh.
KUALA LUMPUR:
Prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kekal stabil walaupun Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) telah dimansuhkan, menurut Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Wong berkata, analisis keputusan dua tahun berturut-turut, iaitu pada 2023 dan 2024, menunjukkan pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut tidak memberi sebarang impak negatif terhadap prestasi SPM.

“Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang menggantikan UPSR dan PT3 kekal berpandukan spesifikasi dan standard ditetapkan Lembaga Peperiksaan, membolehkan guru menilai prestasi murid secara menyeluruh,” katanya menjawab soalan tambahan Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjung Karang) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Wong memaklumkan kadar keciciran murid di sekolah rendah adalah 0.05%, manakala pada peringkat menengah 0.59% setakat ini.

Kadar itu diperoleh berdasarkan data daripada Sistem Pengesanan Murid Berisiko Cicir (SiPKPM) yang merangkumi institusi persekolahan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, KPM melaksanakan pelbagai inisiatif komprehensif bagi menangani isu keciciran termasuk Sekolah Model Khas Komprehensif K9 dan K11.

Menurut Wong, sehingga kini terdapat 30 sekolah K9 dan KPM juga memperluas konsep K11 kepada lima sekolah yang dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4

“KPM turut menyalurkan 18 jenis bantuan persekolahan termasuk bantuan perjalanan dan pengangkutan murid, jaket keselamatan bagi murid yang menggunakan pengangkutan air serta Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Pada awal sesi 2024/2025, bantuan bernilai RM100 juta disalurkan kepada 583 sekolah pedalaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya menjawab pertanyaan William mengenai statistik terkini keciciran murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Wong berkata, Sistem SiPKPM diperkasakan dengan aplikasi kecerdasan buatan (AI) sejak Mei lepas bagi mengenal pasti murid berisiko cicir termasuk minat dan hala tuju pembelajaran mereka, supaya intervensi oleh pihak sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih bersasar.

Menurutnya, KPM yakin usaha bersepadu ini mampu memastikan setiap murid terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar, mendapat akses pendidikan tanpa halangan logistik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.