
Penganalisis politik, Azmi Hassan, berkata walaupun Sekretariat Orang Melayu iaitu ‘payung besar’ dipimpin Mahathir dan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) diterajui parti pembangkang mempunyai matlamat berbeza, kedua-duanya masih didominasi pihak sama iaitu Bersatu dan PAS.
Katanya, persamaan teras dalam keanggotaan menyebabkan strategi itu boleh ‘memakan diri’ kerana ia menimbulkan persepsi salah satu pihak dipergunakan atau dianggap sebagai ‘anak tiri’.
“Tapi masalahnya adalah orang itu orang yang sama, walaupun pimpinan berlainan, tapi yang dalam itu Bersatu dan PAS, itu yang paling dominan. Jadi, ini yang dikatakan amat mencurigakan dan juga strategi ini mungkin boleh makan tuan,” katanya kepada FMT.
Satu gerakan dinamakan Sekretariat Orang Melayu dibentuk Jun lalu bagi menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib kaum itu bawah satu ‘payung besar’.
Pengasasnya, Mahathir berkata inisiatif tersebut adalah langkah untuk mengembalikan kuasa politik dan cabaran dihadapi orang Melayu.
Perbincangan berhubung penubuhan sekretariat itu turut disertai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pada 18 Ogos lalu, gabungan 11 parti blok pembangkang diketuai Muhyiddin turut menubuhkan gabungan longgar dikenali IPR bagi memperjuangkan isu rakyat didakwa gagal ditangani kerajaan Madani, termasuk janji reformasi yang belum dilaksanakan.
Gabungan itu juga akan menganjurkan kongres nasional pertamanya awal tahun depan bagi memperkukuh pendirian dan hala tuju perjuangan mereka bawah tema ‘Selamatkan Malaysia’.
Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyifatkan penubuhan dua gerakan politik baharu tidak memberi nilai tambah kepada landskap politik negara, sebaliknya hanya bersifat retorik dan berpotensi memecahbelahkan blok pembangkang.
Katanya, apa diharapkan rakyat ketika ini adalah dasar yang inklusif dan mampu memacu ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup, bukan pembentukan gerakan baharu yang hanya mengejar sokongan politik jangka pendek apatah lagi mampu menarik sokongan pengundi Melayu dan kaum lain.
“Saya melihat agenda gerakan tersebut hanyalah retorik politik yang dicanangkan untuk meraih sokongan politik, lebih-lebih lagi apabila IPR ditubuhkan, ia hanya satu magnet politik jangka pendek dan tidak berkeupayaan memacu satu daya sokongan yang besar,” katanya.
Ariff berkata, menubuhkan gerakan baharu hanya akan memecahbelahkan kedudukan dan komposisi sedia ada dalam pembangkang sekali gus melemahkan momentum politik mereka.
“Untuk meneruskan momentum sokongan semasa, apa yang diperlukan adalah modal politik iaitu idea yang bernas untuk menangani permasalahan semasa dan bukan dengan mewujudkan gerakan seperti ini,” katanya.