
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata isu itu tidak seharusnya dibiarkan berlarutan sehingga mencetuskan persepsi ketidakstabilan kerajaan, sebaliknya dibincangkan secara rasmi di peringkat komponen kerajaan.
Beliau mengakui situasi dihadapi Umno yang perlu dilihat mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu khususnya di kawasan bandar yang mempunyai dinamika kaum sensitif, merujuk kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agungnya Asyraf Wajdi Dusuki, semalam.
Asyraf berkata rombakan Kabinet yang menyaksikan pelantikan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dari DAP sebagai menteri wilayah persekutuan dan timbalannya Lo Su Fui, Ahli Parlimen Tawau dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), telah menimbulkan sentimen kebimbangan nasib Bumiputera di bandar besar.
“Umno sebagai rakan strategik perlu memainkan peranan aktif mengawal naratif perkauman itu.
“Mungkin perkara ini boleh dibincang secara berhemah dan konstruktif (antara komponen dalam kerajaan perpaduan) termasuk keperluan sebenar penduduk Melayu di ibu kota,” kata Syaza kepada FMT.
Asyraf dalam kenyataan semalam turut berharap sentimen pelantikan Yeoh yang sebelum ini menteri belia dan sukan dapat ditangani dengan bijak oleh kerajaan.
PAS menerusi Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan melemparkan kritikan lebih keras dengan mendakwa pelantikan Yeoh serta pengekalan Nga Kor Ming sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu sebagai strategi mengukuhkan dominasi DAP di bandar utama.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas pihak mempertikaikan pelantikan Yeoh itu dengan menegaskan penolakan seseorang kerana warna kulit atau kaumnya sebagai sangat keji pada zaman sekarang.
Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menepis sentimen yang kononnya nasib Bumiputera di bandar besar seperti Kuala Lumpur akan terjejas susulan rombakan Kabinet yang menyaksikan Yeoh menggantikan Dr Zaliha Mustafa dari PKR.
“Lagipun perkara seperti pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) memerlukan persetujuan Kabinet dan menteri pun tidak boleh bertindak sesuka hati,” katanya mengulas kebimbangan dasar itu mungkin mula diperkenalkan di Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berpandangan tindakan Umno bersuara lebih awal penting bagi menutup ruang manipulasi Perikatan Nasional (PN) untuk mempolitikkan isu terbabit.
“Jika Umno berdiam diri, kesannya lebih berbahaya kerana sokongan Melayu boleh terhakis, kerajaan dilabel elitis dan tidak sensitif,” katanya.