
“Lantikan Kabinet baharu bukan konsesi politik, tetapi terjemahan kepada realiti pentadbiran dan persekutuan. Kita perlukan orang-orang yang boleh bekerja, bukan orang-orang yang kita suka. Jadi, ini yang rakyat kena faham dan juga pemimpin pembangkang kena hentikan,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Setiausaha politik kepada menteri kewangan itu berkata, naratif yang sering dimainkan pembangkang bertujuan menakut-nakutkan orang Melayu dengan isu kaum dan agama, termasuk menjadikan DAP simbol ancaman.
“Strategi pendekatan politik PAS dan Bersatu ini menakut-nakutkan orang Melayu. Selain hantu dan salib, dia ditakutkan dengan DAP.
“Walaupun bermula sebagai pegawai kerani rendah di pejabat pos atau mana-mana pejabat kerajaan sehinggalah pengarah tertinggi, itu semua orang Melayu. Tetapi, hari-hari diratib-ratib orang Melayu sentiasa berada dalam keadaan terancam.”
Katanya, komposisi menteri DAP dalam Jemaah Menteri masih sama dan pelantikan Hannah Yeoh sebagai menteri Wilayah Persekutuan tidak patut dipertikaikan berdasarkan warna kulit atau agama, sebaliknya perlu dinilai mengikut kebolehan mentadbir serta menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau turut mempertahankan Yeoh selaku Ahli Parlimen Segambut, tidak mengabaikan hak orang Melayu kerana pernah memperjuangkan Kampung Sungai Penchala untuk diwartakan sebagai kampung warisan Melayu.
“Hannah sendiri memperjuangkan isu Kampung Sungai Penchala untuk diwartakan sebagai kampung warisan. Ini bukan kawasan orang Cina, ini kawasan orang Melayu.
“Dia juga tunjukkan prestasi perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen Segambut itu dengan cukup baik, termasuk dalam beberapa isu melibatkan pembangunan di kawasan itu dan sebagainya.
“Jadi, kebolehan pemimpin itu bukan diukur melalui warna kulit, tetapi daripada keupayaan dia mentadbir, memimpin dan menyelesaikan masalah rakyat.”
Tegasnya, Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan semua keputusan dasar perlu melalui Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sekali gus menolak dakwaan pelantikan Yeoh memberi kelebihan kepada kaum tertentu saja.
Kamil berkata, masalah Wilayah Persekutuan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat dan menteri berbangsa Melayu yang pernah memegang portfolio itu juga tidak mampu menyelesaikan semua isu berbangkit.
Justeru, beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada barisan baharu Jemaah Menteri untuk berkhidmat dan membuktikan kemampuan mereka.
Katanya, prestasi menteri akan dinilai rakyat melalui peti undi dan barisan Jemaah Menteri semasa ialah persiapan memperkukuh kerajaan Madani menjelang PRU16.
Rombakan Jemaah Menteri Selasa lalu membabitkan 28 menteri dan timbalan menteri, dengan Yeoh bertukar portfolio daripada belia dan sukan kepada Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), yang mengundang kritikan beberapa pihak, termasuk pembangkang.