
Enggan mendedahkan DUN terbabit, pengerusi BN Sabah itu berharap satu keputusan terbaik dapat dicapai untuk mengelakkan pertembungan dua parti yang telah setuju bekerjasama pada PRN Sabah 29 Nov depan.
“Kita akan muktamadkan Sabtu ini,” kata ketua Umno Sabah itu kepada FMT, sambil berseloroh majoriti kerusi itu boleh dimenangi BN.
Sementara itu, sumber parti memberitahu FMT terdapat tujuh kerusi menjadi rebutan antara BN dan PH antaranya Gum-Gum, Segama, Sindumin, Tanjung Aru, Liawan dan Kemabong.
“Dari tujuh kerusi bertindih itu, enam kerusi Umno boleh menang… jadi kerusi mana yang kami boleh bagi?,” kongsi sumber itu.
Menurutnya, BN juga akan memanggil semua calon bertanding pada PRN Sabah untuk menandatangani perjanjian bagi mengekang tindakan mengkianati parti pada masa depan.
“Pada 8 Nov nanti, pengumuman calon untuk BN dan semua calon akan tandatangan perjanjian termasuk membayar balik ganti rugi sebanyak RM100 juta kepada parti,” katanya.
Pada 26 Sept lalu, Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata pihaknya dan BN berada di peringkat akhir rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN Sabah.
Namun ketika itu beliau berkata hanya dua atau tiga kerusi belum dimuktamadkan bagi mengelakkan pertembungan satu sama lain.
Sebelum ini, Umno Libaran menyuarakan hasrat mahu bertanding semula di DUN Gum-Gum, walaupun perbincangan Sekretariat War Room Umno dan PH memutuskan kerusi berkenaan diberikan kepada PH.
Ketuanya, Suhaimi Nasir dilaporkan berkata tuntutan itu dibuat kerana kerusi berkenaan asalnya milik Umno, dan parti itu telah menggerakkan jentera di kawasan tersebut sejak sekian lama.
Media turut melaporkan DAP mengenal pasti sekurang-kurangnya dua kerusi DUN di kawasan pedalaman yang berpotensi ditandingi pada PRN, selain menyatakan hasrat bertanding di DUN Tanjung Aru, disandang Warisan ketika ini.
Kemabong dikatakan satu daripada kerusi terbabit. Pada Ogos, DAP serta PKR Tenom menggesa pimpinan PH mencalonkan bekas Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual.
Kerusi itu diwakili Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Rubin Balang sebelum pembubaran DUN pada 6 Okt lalu.