Hajiji yakin GRS peroleh mandat baharu pada PRN Sabah

Hajiji yakin GRS peroleh mandat baharu pada PRN Sabah

Pengerusi GRS itu berkata, kerjasama berterusan dalam kalangan enam parti komponennya yang masih ada tidak akan mampu ditandingi pembangkang.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor pada majlis pelancaran jentera pilihan raya GRS di SICC Kota Kinabalu, hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata, beliau yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memperoleh mandat baharu pada PRN17.

Pengerusi GRS itu berkata, dengan kerjasama berterusan dalam kalangan enam parti komponennya yang masih kekal, pihak pembangkang tidak akan mampu menandingi kekuatan gabungan politik tempatan terbesar di Sabah itu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para pemimpin parti komponen yang kekal setia bersama GRS walaupun dua ahli pengasasnya – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) – meninggalkan gabungan itu untuk membawa haluan sendiri menjelang PRN pada 29 Nov.

“Dengan semangat padu dan kesatuan kukuh kita, tiada kekuatan lawan yang mampu menggugat kekuatan kita,” katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu, lapor Harian Metro.

“Saya berterima kasih dan menyatakan penghargaan setingginya kepada semua rakan parti komponen yang kekal bersama dalam perjuangan ini meskipun berbeza latar belakang perjuangan.

“Tidak akan ada pihak lain mampu menggugat kekuatan kita , insyaAllah GRS akan mendapat mandat baharu pada pilihan raya kali ini.

“Tiada lagi gabungan sebesar GRS yang menyatupadukan parti lokal dan memperjuangkan hak kita orang Sabah sebagai rakan kongsi dalam Malaysia.

“Dalam perjuangan politik, kita tahu akan ada pihak memilih jalan berbeza dan meninggalkan perjuangan ini, namun yang penting kekuatan kita tetap utuh kerana ada yang tetap teguh dan setia bersama GRS.”

Hajiji berkata, perpaduan dalam GRS mencerminkan kekuatan parti-parti tempatan Sabah yang mesti dipertahankan.

PRN kali ini dijangka menjadi satu lagi saingan sengit, dengan GRS akan berdepan Barisan Nasional (BN) walaupun kedua-dua gabungan itu telah mencapai pakatan dengan Pakatan Harapan (PH).

Perikatan Nasional (PN), Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, STAR, SAPP dan Parti Gemilang Anak Sabah juga dijangka meletakkan calon bagi 73 kerusi yang dipertandingkan.

PRN Sabah akan diadakan pada 29 Nov, dengan hari penamaan calon pada 15 Nov dan pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov.

Seramai 1,784,843 rakyat Sabah layak mengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.