
Beliau berkata gagasan ‘Membetul Kerangka, Menyemarak Ekonomi dan Melegakan Rakyat’ dibentang Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin itu menunjukkan PN tidak berpura-pura atau bersandiwara dalam usaha menawarkan alternatif kepada dasar kerajaan.
“Terutama dalam isu pembetulan struktur ekonomi dan beban sara hidup rakyat.
“Gagasan Belanjawan PN bukan sekadar kritikan, tetapi satu tawaran segar – praktikal, boleh dilakukan, dan berpaksikan keperluan rakyat,” katanya dalam tulisannya disiarkan di Sinar Harian.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata Gagasan Belanjawan PN itu merangkumi dua komponen utama — kritikan terhadap belanjawan kerajaan dan tawaran pembetulan oleh PN yang bersifat asas serta tidak berpura-pura.
Antara kritikan utama PN ialah dakwaan bahawa apa yang disebut kerajaan sebagai tatakelola hanyalah ‘kosmetik semata-mata’, serta wujud kekeliruan dalam data ekonomi digunakan dalam Tinjauan Fiskal 2026.

Saifuddin berkata, hujah paling besar ialah dakwaan manipulasi angka RM50.8 bilion yang dikatakan datang daripada dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), badan berkanun dan entiti milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang tidak termasuk dalam akaun hasil disatukan.
Menurutnya, tawaran PN pula disusun berasaskan prinsip membetulkan asas kewangan dan ekonomi sedia ada, menambah hasil negara serta mencari jalan mengurangkan tekanan rakyat tanpa langkah populis jangka pendek.
“PN percaya sebelum mahu membina sesuatu yang lebih baik, kita mesti berani membetulkan apa yang pincang; sebelum mampu menambah hasil, kita mesti menyalakan semula keyakinan; dan sebelum negara dapat maju, kesempitan hidup rakyat mesti dilegakan,” katanya.
Antara inisiatif utama PN termasuk Dana Pemangkin Perniagaan Berimpak Tinggi, pelaburan dalam inovasi dan produktiviti, serta pelaksanaan sistem cukai adil dan telus bagi menggalakkan pematuhan sukarela.
PN juga mencadangkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah berpendapatan rendah, sebagai usaha segera membantu rakyat berdepan kos sara hidup.
Dalam bidang pendidikan, Saifuddin yang juga ketua portfolio pendidikan PN berkata gagasan itu menekankan pendidikan percuma di peringkat pra-siswazah untuk golongan rentan, pemberian biasiswa merit dalam bidang strategik, serta peluasan autonomi universiti awam (IPTA) melalui Tabung Endowment bagi universiti penyelidikan.
Beliau menegaskan Gagasan Belanjawan PN adalah pelan alternatif yang rasional dan disusun oleh mereka yang ‘mahu dan tahu melaksanakannya’ serta bermanfaat buat rakyat.
“Ini tawaran segar umpama belanjawan alternatif daripada pembangkang konstruktif yang menjadi kerajaan menunggu,” katanya.