Guna dinar ganti USD, pakar berbeza pendapat cadangan Hadi

Guna dinar ganti USD, pakar berbeza pendapat cadangan Hadi

Kelmarin, Presiden PAS Hadi Awang gesa kerajaan perkenal semula usaha guna dinar sebagai mata wang antarabangsa bagi kurang kebergantungan ringgit kepada USD.

dollar
Pada 2019, Dr Mahathir Mohamad pernah mencadangkan negara-negara Islam beralih daripada dolar AS kepada dinar emas dan sistem barter dalam perdagangan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Pakar ekonomi berbeza pendapat berhubung seruan Presiden PAS Hadi Awang supaya kerajaan memperkenalkan semula usaha menggunakan dinar sebagai mata wang antarabangsa bagi mengurangkan kebergantungan ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (USD).

Afzanizam Abdul Rashid dari Bank Muamalat berkata cadangan itu boleh dipertimbangkan memandangkan mata wang fiat sedia ada yang tidak melambangkan nilai sebenarnya.

Namun beliau menjelaskan pendekatan itu memerlukan perancangan holistik termasuk strategi menambah bekalan dan perlombongan emas selain komoditi berharga lain seperti perak, platinum dan paladium sebagai sandaran nilai mata wang.

“Begitu juga komoditi bernilai seperti minyak sawit, padi, nadir bumi dan pelbagai lagi yang boleh dijadikan sandaran bagi wang.

Afzanizam Abdul Rashid
Afzanizam Abdul Rashid.

“Maka sudah pasti perubahan ini memerlukan perancangan teliti, koordinasi cekap dan mungkin membabitkan kerjasama negara-negara luar,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dalam perbahasan di Dewan Rakyat mencadangkan kerajaan melaksanakan langkah itu seperti pernah diusahakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menggunakan dinar emas berbanding USD.

Pada 2019, Mahathir pernah mencadangkan negara-negara Islam beralih daripada dolar AS kepada dinar emas dan sistem barter dalam perdagangan, mengatakannya lebih selamat berbanding mata wang AS yang tidak stabil dan kadang-kadang lemah.

Emas pernah digunakan untuk menyokong mata wang fiat. Ia juga digunakan sebagai mata wang rizab dunia pada hampir keseluruhan abad ke-20. AS menggunakan standard emas sehingga Presiden Nixon menghentikannya pada 1971.

Ahmed Razman Abdul Latiff.
Ahmed Razman Abdul Latiff.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School pula melihat alternatif lebih baik ialah membangunkan mata wang digital bank pusat (CBDC) bagi memudahkan urusan perdagangan dan menghapuskan elemen pasaran gelap.

“Dan paling penting mata wang CBDC ini boleh disandarkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.