‘Siapa yang kelirukan Dewan’, Armizan soal Tangau

‘Siapa yang kelirukan Dewan’, Armizan soal Tangau

Armizan Mohd Ali minta Ahli Parlimen Tuaran 'buka dan baca' Perlembagaan agar tidak keliru dan akhirnya memalukan rakyat Sabah.

Armizan Mohd Ali dakwa Wilfred Madius Tangau sendiri keliru lantas mengelirukan rakyat berhubung pemberian khas kerajaan persekutuan kepada Sabah.
PETALING JAYA:
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Armizan Mohd Ali menegur Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau yang menurutnya mengelirukan Parlimen dan rakyat tentang isu pemberian khas kerajaan persekutuan kepada Sabah.

Armizan berkata, pada 2023 beliau dituduh mengelirukan Dewan Rakyat berhubung pemberian khas itu.

Katanya, Tangau ketika itu menafikan jumlah diterima daripada kerajaan persekutuan merupakan pemberian khas, sebaliknya hak Sabah, namun baru-baru ini, beliau sendiri mengucapkan terima kasih atas peningkatan pemberian khas dari RM300 juta kepada RM600 juta.

“40% pemberian khas itu hak kita. Tapi susahlah kalau pemimpin Sabah sendiri keliru dan lebih teruk lagi mengelirukan orang lain dengan kenyataan mereka. Jadi siapa yang kelirukan Parlimen dan rakyat Sabah?

“Tolong rajin buka dan baca Perlembagaan Persekutuan. Jangan terpinga-pinga sahaja dan malukan orang Sabah depan rakyat jelata,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook.

Armizan berkata, mana-mana ahli yang didapati memberikan kenyataan mengelirukan di dalam Dewan disifatkan sebagai menghina majlis dan boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk tindakan lanjut, menurut Peraturan Mesyuarat 36(12).

Mengulas lanjut, Armizan yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berkata, beliau akan terus mengupas isu hak 40% pemberian khas itu, mengambil kira kepentingannya sebagai teras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

“(Setelah) sekian lama banyak pihak yang menunggangnya untuk kepentingan politik, selain menuduh pihak lain gagal dalam memperjuangkan hak tersebut. Tetapi apabila mereka diuji dengan kuasa di tangan mereka, lain dicakap, lain dibikin.

“Saya masih tunggu respon balas daripada beberapa pemimpin yang lain. Setakat hujah cytro, saya tidak layan. Kita mahu setiap pemimpin berani bertanggungjawab atas kenyataan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.