
Idham Razak dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata sasaran defisit fiskal 3.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan disifatkan realistik berikutan kerajaan menunjukkan kemajuan berterusan dalam konsolidasi fiskal dan peningkatan hasil negara.
Menurutnya, dengan pertumbuhan ekonomi stabil serta pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Malaysia kini berada pada kedudukan terbaik untuk mencapai sasaran itu walaupun berdepan ketidaktentuan global.
“Kerajaan berjaya mengekalkan bantuan sosial dan perbelanjaan pembangunan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal.
“Ini menunjukkan dasar fiskal kini lebih tersusun dan berpandukan data bukan sekadar bergantung pendekatan pengembangan semata-mata,” katanya kepada FMT.
Bagi Goh Lim Thye dari Universiti Malaya (UM), sasaran defisit 3.5% boleh dicapai sekiranya kerajaan mengekalkan momentum reformasi fiskal yang sedang berjalan, termasuk rasionalisasi subsidi dan peluasan asas cukai.
Katanya, inisiatif seperti Budi Madani RON95 (BUDI95) yang menggantikan subsidi pukal, menjadi bukti kerajaan serius menutup ruang kebocoran tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.
“Pendekatan ini bukan hanya soal penjimatan tetapi penyusunan semula keutamaan fiskal bagi memastikan sumber awam benar-benar sampai kepada kumpulan sasar sekali gus perkukuh sistem perlindungan sosial negara,” katanya.
Tambah Goh, pelaksanaan e-invois, peluasan hasil bukan cukai, serta pertumbuhan ekonomi yang diunjur sekitar 4% hingga 4.5% memberi ruang kerajaan mencapai keseimbangan antara pertumbuhan dan kestabilan fiskal.
Dalam aspek tadbir urus, dua ahli ekonomi itu sepakat FRA dan penambahbaikan sistem perolehan awam boleh menjadi tonggak utama ke arah ketelusan serta kecekapan dalam pengurusan kewangan negara.
Idham menjelaskan FRA mampu mewujudkan rangka kerja perbelanjaan berdisiplin dengan garis panduan defisit dan hutang jelas, manakala sistem perolehan baharu memastikan setiap projek kerajaan dinilai berdasarkan impak dan ketelusan.
“Reformasi perolehan awam melalui digitalisasi dan tender terbuka akan mempercepat pelaksanaan projek serta mengurangkan ketirisan.
“Ini menjadikan setiap ringgit dibelanjakan dengan optimum dan berimpak tinggi,” katanya.
Goh pula menekankan peningkatan ketelusan itu akan memperkukuh keyakinan pelabur dan agensi penarafan antarabangsa, yang kini mengekalkan Malaysia pada status pelaburan stabil seperti A- (S&P), A3 (Moody’s) dan BBB+ (Fitch Ratings).
“Jika dasar ini diteruskan, Malaysia bukan sahaja mengawal hutang dan defisit, malah boleh menikmati kos pembiayaan lebih rendah di pasaran global,” tambahnya.
Kedua-duanya senada disiplin fiskal tidak bermaksud mengurangkan bantuan rakyat, sebaliknya memastikan setiap perbelanjaan bersasar dan memberi nilai jangka panjang.
Menurut Goh, strategi terbaik ialah melalui ‘penjimatan pintar’ (smart fiscal consolidation) yang mengurangkan perbelanjaan tidak produktif tetapi mengekalkan pelaburan dalam sektor pendidikan, kesihatan, perumahan dan digitalisasi ekonomi.
Belanjawan 2026, dengan peruntukan keseluruhan RM470 bilion, turut memperkenalkan dasar jangka panjang seperti cukai karbon, Green Investment Tax Allowance, serta potongan cukai latihan AI dan keselamatan siber bagi PKS, sejajar dengan peralihan kepada ekonomi hijau dan digital.
Idham berkata, pendekatan berkenaan menunjukkan Malaysia kini memasuki fasa baharu pascapemulihan pandemik, daripada strategi tertumpu perbelanjaan kepada budaya fiskal berdisiplin, mampan dan berakauntabiliti tinggi.
“Belanjawan 2026 bukan hanya tentang angka atau peruntukan, tetapi budaya baharu iaitu memastikan setiap keputusan fiskal memberi nilai sebenar kepada rakyat dan ekonomi,” katanya.