
Menurut perkongsian laman Facebook Universiti Utara Malaysia (UUM), kejadian itu dikatakan berlaku ketika Dzulkifli dalam perjalanan pulang daripada menunaikan solat subuh.
Hantaran itu memaklumkan bekas rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu mengalami kecederaan di kepala dan menerima 15 jahitan selepas dihentak dengan senjata dipercayai pistol.
Sementara itu, menurut kenyataan ahli keluarga yang dikongsi UUM di ruangan komen memberitahu Dzulkifli dalam keadaan selamat dan sihat.
Ahli keluarga memaklumkan akan berkongsi maklumat lanjut selepas siasatan polis selesai bagi mengelakkan sebarang spekulasi selain menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan, kefahaman dan kesabaran semua pihak.
UUM dalam hantaran tersebut turut menyatakan simpati atas kejadian yang menimpa tokoh akademik itu dan mendoakan kesembuhannya, menurut Bernama.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, setakat ini polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan dan suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman.
“Bilik Gerakan IPD Timur Laut menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada 7.01 pagi dan insiden berlaku kira-kira 6.45 pagi, mangsa berusia 75 tahun mengalami kecederaan di kepala.
“Ekoran kejadian itu, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes, siasatan lanjut juga sedang berjalan untuk mengenal pasti motif kejadian termasuk mengenal pasti senjata digunakan suspek,” katanya.