
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata pihaknya sedang melengkapkan siasatan, termasuk merakam percakapan individu berkaitan, sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.
“Buat sementara ini, kita tidak beri mereka tugas-tugas aktiflah. Berada di pejabat bagi memastikan bahawa siasatan kita dapat dijalankan dengan baik dan sempurna,” katanya selepas Majlis Sumbangan Yayasan Seri Negara dan Penyerahan Zakat Wakalah PBLT Sdn Bhd yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dr Wan Azizah Wan Ismail di IPD Cheras.
Khalid menegaskan polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai atau anggota terbabit kegiatan menyalahi undang-undang.
“Tindakan ini tidak akan berakhir di sini dan kita akan memastikan bahawa jika berlaku pelanggaran undang-undang dan kesalahan, kita akan ambil tindakan dan kita buka kertas siasatan dan buat pertuduhan sepertimana yang sepatutnya.”
Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar mengesahkan penahanan 12 anggota polis berhubung satu kes samun melibatkan kerugian mata wang kripto milik seorang warga asing yang dilaporkan berlaku di daerah Kajang awal bulan ini.