
Pensyarah kanan Universiti Malaya, Goh Lim Thye berkata, cadangan Lim itu wajar memandangkan ambang pelepasan cukai individu tidak disemak sejak 15 tahun lalu, walaupun kos sara hidup menunjukkan peningkatan signifikan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pendekatan lebih bermakna adalah untuk menyemak kategori pelepasan serta ambang berkenaan secara menyeluruh dan bukan sekadar mengolah melaraskan satu angka secara berasingan.
“Isunya bukan sekadar ambang pelepasan utama, tetapi sama ada keseluruhan rangka kerja pelepasan cukai kekal sejajar dengan corak penggunaan dan tekanan kos terkini,” katanya kepada FMT.
Beliau menggesa kerajaan memastikan bahawa potongan yang disasarkan mencerminkan perbelanjaan isi rumah semasa yang kini telah beralih kepada alat digital serta perbelanjaan berkaitan kesihatan dan kesejahteraan.
Goh berkata, semakan berkala, penyasaran golongan rentan yang lebih baik, dan penyelarasan lebih baik dengan program bantuan tunai dapat membantu isi rumah menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.
Namun demikian, beliau berkata semakan menaik akan memberikan pendapatan boleh guna yang lebih tinggi kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, yang berpotensi mengurangkan tekanan kewangan di rumah.
Sementara itu, Ida Yasin dari Putra Business School berkata langkah dicadangkan itu mampu meningkatkan pendapatan boleh guna penerima manfaat, seterusnya membantu mereka menguruskan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Katanya, kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana lebih berkemungkinan membelanjakan wang itu di dalam negara seterusnya menyokong ekonomi domestik.
Bagaimanapun, Goh mengingatkan bahawa perkara ini tidak terjamin melainkan dasar itu secara terang menggalakkan supaya pendapatan tambahan ini dialihkan terhadap barangan dan perkhidmatan tempatan.
Pada 2 Jan, Lim berkata beliau akan mencadangkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa kadar pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000 berikutan kadar sedia ada tidak lagi menggambarkan kos sara hidup hari ini.
Beliau turut mencadangkan supaya kenaikan itu dilaksanakan secara berperingkat, iaitu RM1,000 setahun sehingga 2028, untuk mengelak membebankan kewangan kerajaan.