Sasaran dagangan USD10 bilion Malaysia-Turki dapat dicapai, kata Anwar

Sasaran dagangan USD10 bilion Malaysia-Turki dapat dicapai, kata Anwar

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turki dari Januari hingga November 2025 berjumlah RM21.2 bilion (USD4.92 bilion).

Anwar Ibrahim dan Recep Tayyip Erdogan
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menerima kunjungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kompleks Presiden, Ankara pada Rabu. (Gambar Bernama)
ANKARA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyifatkan sasaran perdagangan dua hala sebanyak USD10 bilion (USD1 = RM4.05) antara Malaysia dan Turki dapat dicapai berdasarkan kekuatan ekonomi kedua-dua negara.

Beliau berkata, Turki mempunyai ekonomi kukuh dan berdaya tahan, manakala Malaysia walaupun saiz ekonominya lebih kecil, ia berkembang pesat dan muncul destinasi menarik untuk pelaburan bernilai tinggi, khasnya dalam semikonduktor, kecerdasan buatan, pusat data serta teknologi baharu, termasuk industri nadir bumi.

“Dan saya berpendapat kerjasama ini akan lebih bermakna bukan sahaja dari segi tahap perdagangan tradisional, tetapi juga dalam disiplin baharu yang akan diperkukuhkan menerusi kerjasama pendidikan dan penyelidikan antara kedua-dua negara.

“Itulah sebabnya mekanisme yang diperlukan harus dirangka,” katanya dalam kenyataan bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sempena lawatan rasminya ke Turki pada Rabu.

Menurutnya, Malaysia mendapat manfaat ketara daripada pengaturan perolehan kerajaan-ke-kerajaan membabitkan industri pertahanan Turki, khasnya melibatkan tentera laut dan aeroangkasa, dengan menyifatkan kerjasama itu kelebihan utama buat Malaysia.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, kerjasama sedemikian juga mencerminkan model perkongsian baharu berlandaskan prinsip tadbir urus baik dan ketelusan.

Katanya, skop kerjasama dua hala itu akan diperluaskan lagi untuk merangkumi industri halal dan kewangan Islam, yang disifatkan mempunyai potensi kukuh untuk diterokai serta dimajukan bersama.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turki dari Januari hingga November 2025 berjumlah RM21.2 bilion (USD4.92 bilion).

Pada 2024, Turki merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (USD5.28 bilion).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.