Nilai eksport negara pada 2025 cecah RM1.45 trilion

Nilai eksport negara pada 2025 cecah RM1.45 trilion

Pengerusi Matrade, Reezal Merican Naina Merican berkata setakat November jumlah dagangan keseluruhan mencapai RM2.77 trilion.

westport port klang
Pengerusi Matrade, Reezal Merican Naina Merican berkata jika dibandingkan bagi tempoh sama tahun lepas, eksport meningkat hampir 6.1%, dagangan naik 5.8%, manakala import meningkat sekitar 5.6%.
KEPALA BATAS:
Malaysia mencatatkan nilai eksport mencecah RM1.45 trilion bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, manakala jumlah dagangan keseluruhan mencapai RM2.77 trilion bagi tempoh sama.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Reezal Merican Naina Merican berkata pencapaian itu menandakan tahun kelima berturut-turut Malaysia berjaya memecahkan angka dagangan pada paras trilion, sekali gus meletakkan negara pada landasan untuk mencatat rekod baharu bagi keseluruhan tahun.

Reezal Merican Naina Merican.

“Jika dibandingkan bagi tempoh Januari hingga November tahun ini dengan tempoh sama tahun lepas, eksport meningkat hampir 6.1%, dagangan naik 5.8%, manakala import meningkat sekitar 5.6%.

“Selain itu, lebihan dagangan negara pula merekod sebanyak RM132.5 bilion bagi tempoh sama, turut meningkat sebanyak 10.7%, mencerminkan prestasi perdagangan luar yang kukuh,” katanya kepada pemberita.

Beliau yang juga Adun Bertam berkata demikian ketika ditemui selepas Program Khatan @ Hotel anjuran Pusat Khidmat Adun Bertam dan Umno Kepala Batas.

Reezal Merican berkata peningkatan eksport banyak didorong oleh permintaan tinggi terhadap produk semikonduktor yang mencatat pertumbuhan 17.5%, farmaseutikal sebanyak 22.9% serta produk optikal dan saintifik pula meningkat sekitar 10%.

Dari segi pasaran utama, negara Asia kekal sebagai destinasi eksport terbesar Malaysia, diikuti Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah (EU) dan Hong Kong dengan lima pasaran utama itu menyumbang hampir 68.5% daripada jumlah keseluruhan eksport negara.

Sementara itu, perdagangan dengan negara-negara yang mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) juga menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan 3.2%, merangkumi kira-kira 66.8% nilai eksport termasuk Mexico, Hong Kong, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Chile, United Kingdom dan Kanada.

“Lebih memberangsangkan adalah peningkatan ketara eksport ke pasaran baharu khususnya di Afrika dan Asia Tengah.

“Negara seperti Yaman mencatatkan peningkatan 62%, Tanzania (37%), Togo (30%), Uzbekistan (23%), Kenya (12%), Nigeria (15%) dan Algeria sebanyak 24%,” katanya.

Reezal berkata lawatan rasmi Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Anwar Ibrahim ke beberapa negara Afrika dan Asia Tengah turut memberi kesan positif kepada prestasi perdagangan dengan negara-negara yang dilawati itu, mencatatkan pertumbuhan dagangan sebanyak dua digit.

Beliau turut optimis Malaysia akan mencatat nilai eksport dan dagangan tertinggi dalam sejarah apabila angka penuh prestasi tahun ini diumumkan pada 19 Jan, tahun depan, tarikh sebelum Matrade mengadakan Majlis Pengumuman Prestasi Dagangan Malaysia 2025 pada 27 Jan, 2026.

“Saya menjangkakan tahun ini akan mencatatkan “another record setting” (satu lagi pencapaian terbaik), maknanya kita agak optimis bahawa eksport akan mencatatkan bukan hanya memecah trillion, eksport yang tertinggi angka dalam sejarah Malaysia, kalau tahun lepas RM1.51 trilion…paling tinggi dulu adalah RM1.55 trillion direkodkan pada 2022.

“Sekarang dah RM1.45 trillion dan kalau tambah lagi RM100 bilion untuk bulan ini dah jadi RM1.55 trilion atau RM1.56 trilion, ia sudah melepasi paras tertinggi, sama juga dengan dagangan berjumlah RM2.77 trillion. Saya menjangkakan angka ini adalah angka yang bakal menyaksikan record setting, angka tahun ini akan diketahui pada 19 Jan nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.