
Setiausaha Agungnya Willie Jude Junaidi berkata tidak logik KDM dikaitkan dengan Warisan kerana kedua-dua parti itu akan bertembung di banyak kawasan.
Katanya, khabar angin yang mengaitkan KDM dengan Warisan sudah lama beredar dan semakin kencang selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
“Mungkin mereka (parti lawan) sudah kehabisan modal, asyik guna ‘cybertrooper’ untuk kaitkan kami dengan parti lain, kononnya undi kami (KDM) akan memihak kepada mereka (Warisan).
“Saya tidak nafikan, isu itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada kami,” katanya dalam kenyataan sambil menegaskan komitmen KDM untuk bertanding secara solo.
Willie mengulas dakwaan bahawa KDM akan bekerjasama secara senyap dengan Warisan, walaupun kedua-dua parti itu sudah mengumumkan akan bertanding secara solo pada PRN ke-17 tidak lama lagi.
Sebelum ini, KDM menyatakan hasrat untuk bertanding di 36 kerusi pada PRN.
Presidennya, Peter Anthony, pernah menganggotai Warisan sejak penubuhannya sembilan tahun lalu sebelum keluar daripada parti itu pada 2021.
Penyandang kerusi DUN Melalap itu kini sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atas kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Sementara itu, Willie berkata senarai calon KDM bagi PRN kini di peringkat akhir.
Katanya, pengumuman akan dibuat tidak lama lagi selepas perbincangan peringkat akhir bersama pimpinan tertinggi KDM.
“Akan diumumkan nanti, dijangka serentak dengan pelancaran manifesto parti. Tunggu saja,” katanya.