3 kali kalah, Asyraf tiada ruang ‘silap’ lagi di Gerik, kata penganalisis

3 kali kalah, Asyraf tiada ruang ‘silap’ lagi di Gerik, kata penganalisis

Azmi Hassan dan Mazlan Ali berkata peluang Asyraf Wajdi Dusuki dilihat lebih baik dengan imej profesional dan jika kerjasama BN-PH kekal utuh.

Kelmarin Pengerusi BN Zahid Hamidi mengumumkan Asyraf Wajdi Dusuki sekali lagi akan dipertaruhkan untuk merampas Parlimen Gerik.
PETALING JAYA:
Melalui tiga pilihan raya dengan kekalahan sejak 2008, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mungkin mempunyai peluang di Parlimen Gerik pada PRU16 dengan penerimaan imej profesional lebih menonjol, menurut penganalisis.

Azmi Hassan dan Mazlan Ali turut senada kerjasama lebih utuh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) jika berterusan sehingga PRU16 boleh meningkatkan peluangya merampas kerusi itu daripada Perikatan Nasional (PN).

Menyifatkan PRU16 sebagai hidup mati untuk bekas ketua Pemuda Umno itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata reputasi Asyraf sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) selain teknokrat mudah didekati sedikit-sebanyak meningkatkan kedudukannya.

“Reputasi Asyraf sekarang pada kedudukan terbaik untuk tawan semula Gerik. Beliau seorang teknokrat, berjaya bawa perubahan positif dalam Mara dan amat dekat dengan pelajar,” katanya kepada FMT.

Mazlan turut berpendapat, faktor lain paling penting ialah jika BN dan PH terus bekerjasama dengan kedua-dua penyokong parti dapat memberi undi sebanyak mungkin kepada Asyraf.

“Pada PRU15, beliau kalah dalam pertandingan tiga penjuru…kalau kali ini BN kerjasama dengan PH, saya lihat peluangnya menang ada,” katanya merujuk keputusan menyaksikan calon PN Fathul Huzir Ayob daripada PN menang dengan majoriti 1,377 undi.

Huzir menerima 15,105 undi manakala Asyraf mendapat 13,728 undi diikuti calon PH Tarmizi Mohd Jam 5,779 undi.

Asyraf yang pernah menjadi timbalan menteri gagal dalam percubaan pertamanya bertanding pilihan raya apabila kalah di Tumpat pada 2008 diikuti Pasir Puteh 10 tahun selepas itu sebelum ‘berhijrah’ ke Gerik.

Kelmarin, Pengerusi BN Zahid Hamidi mengumumkan Asyraf sekali lagi akan dipertaruhkan untuk merampas Parlimen Gerik yang pernah menjadi kubu kuat Umno sebelum PRU15.

Azmi, Felo Majlis Profesor Negara pula berkata selain kerjasama erat BN-PH, Asyraf perlu membina kepercayaan dalam kalangan pengundi tempatan yang masih terkesan dengan isu ‘calon luar’ pada pilihan raya lalu.

“Rakyat Gerik mahu lihat beliau turun padang lebih kerap, bukan sekadar muncul semasa kempen. Itu ujian sebenar jika beliau mahu elak kekalahan keempat,” katanya.

Azmi berkata, pengumuman awal pencalonan Asyraf menunjukkan strategi Umno mahu memperkukuh persediaan lebih awal sambil menghantar mesej parti itu kembali meletakkan calon berwibawa dan berpandangan jauh di kawasan strategik.

“Ini masa untuk Asyraf buktikan beliau bukan sekadar teknokrat, tetapi juga ahli politik lapangan yang mampu membaca nadi pengundi luar bandar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.