
The Borneo Post melaporkan timbalan ketua bahagian Ramanus Michael memaklumkan keputusan itu dicapai selepas pertimbangan teliti terhadap hala tuju politik semasa selain mengiktiraf kepimpinan Adun Liawan Annuar Ayub.
Michael berkata, kesemua ahli jawatankuasa bahagian bersepakat untuk teguh di belakang Annuar, yang disifatkan sebagai pemimpin yang telah ‘mempamerkan keikhlasan, kerja yang terbukti, dan wawasan yang jelas demi masa depan Liawan’.
Annuar, yang juga naib presiden parti, adalah antara lima bekas pemimpin STAR yang meletak jawatan selepas tidak sehaluan dengan presiden parti, Jeffrey Kitingan, dan beralih menyokong GRS.
Empat yang lain terdiri daripada Timbalan Presiden STAR Ellron Alfred Angin (bukan Islam), gandingan Muslim Bumiputeranya, Robert Tawik, serta dua naib presiden, Abidin Madingkir dan Flovia Ng.
Tegas Michael, keputusan bahagian itu dipandu oleh ‘kejujuran, amanah dan komitmen’ terhadap kesejahteraan rakyat, bukannya didorong emosi atau sentimen kepartian.
“Kami tidak akan berpaling lagi. Perjuangan kami tidak terikat pada simbol atau warna, sebaliknya berpaksikan integriti dan prinsip.
“Kami akan maju bersama Annuar. Kami akan terus membina Liawan yang progresif, stabil dan kompetitif bersama GRS,” katanya.
Keputusan bahagian itu untuk meninggalkan parti, yang berkuat kuasa serta-merta, telah dimaklumkan secara rasmi menerusi surat kepada presiden STAR di ibu pejabat parti di Kota Kinabalu.
Liawan merupakan bahagian kedua yang keluar STAR minggu ini dan menyokong GRS, susulan tindakan sama oleh Bandau di Kota Marudu Ahad lepas.
Pada 6 Okt, media melaporkan STAR Kuamut turut menentang pendirian Kitingan apabila menyatakan taat setia kepada GRS bagi menghadapi PRN akan datang.
Ketuanya, Mandik Yadam berkata, satu mesyuarat khas peringkat bahagian dua hari sebelum itu bersetuju untuk tidak meletakkan calon di kerusi Kuamut, sebaliknya menyokong calon GRS.
Menurutnya, walaupun bahagian menghormati pendirian presiden parti, peringkat akar umbi membuat keputusan untuk kekal bersama GRS Kuamut di bawah kepimpinan Masiung Banah.
STAR dan Parti Progresif Sabah (SAPP) sebelum ini bertindak keluar GRS ekoran pakatan pilihan raya gabungan pemerintah itu dengan Pakatan Harapan.