
Adun Senallang menafikan pentadbirannya tunduk dalam perjuangan hak Sabah seperti didakwa Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Armizan Mohd Ali, Ahad lalu.
Menurut presiden Warisan, langkah sementara itu tidak pernah bermaksud pimpinannya melepaskan hak menuntut 40% hasil cukai seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita bukan tidak mahu perjuangkan hak Sabah, tetapi pada waktu itu kerajaan pusat berdepan kekangan bajet.
“Bajet ketika itu sekitar RM200 bilion sahaja berbanding RM400 bilion hari ini,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, lapor portal Sayang Sabah.
Armizan sebelum ini mendakwa, langkah menerima jumlah pemberian khas itu menzahirkan kegagalan Warisan menunaikan amanah negeri dan rakyat Sabah.
Katanya, Warisan ketika menjadi pembangkang sering mengkritik Barisan Nasional (BN) kerana mengekalkan pemberian khas Putrajaya kepada Sabah sebanyak RM26.7 juta selama kira-kira 45 tahun.
Menurutnya, namun ketika Shafie menjadi ketua menteri dari 2018 hingga 2020, pemberian khas itu hanya dinaikkan kepada RM53.4 juta bawah Belanjawan 2020.
Menyangkal dakwaan Armizan, Shafie menegaskan keputusan dibuat berdasarkan realiti fiskal ketika itu, bukan kerana kelemahan dalam memperjuangkan hak negeri.
“Kita timbang rasa pada waktu itu, tetapi tidak bermakna kita bersetuju menolak hak Sabah. Saya ulang, kita tidak pernah bersetuju untuk melepaskan hak 40% itu.
“Kita terima (pemberian khas), cuma kebimbangan jumlah hutang yang meningkat kerana dalam jangka masa lima tahun hutang negara kita RM490 bilion yang perlu diselesaikan,” katanya.