
Menurut Ketua Penyelidik Ilham Centre, Yusri Ibrahim, kepimpinan Bersatu sekarang (tanya saya pula sekarang je ke? Bukan sejak dahulu?) disandang oleh ‘aktor-aktor politik yang bijak mengintai, mencatur dan mengambil peluang’.
Kata Yusri, sesetengah orang guna istilah oportunis. Ini termasuk saya yang percaya ramai oportunis dalam kepimpinan Bersatu.
Tetapi, Yusri lebih selesa guna istilah ‘bijak memanipulasi peluang’. Ini katanya, lebih berhemah. Tak apalah – saya mengaku tak berhemah.
Kita diingatkan Yusri bahawa Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin menang kerusi Parlimen Larut pada PRU14 2018 atas tiket Barisan Nasional. Tetapi apabila BN kalah dan Pakatan Harapan bentuk kerajaan beliau lompat keluar Umno masuk Bersatu – sekali gus bawa kerusi Larut yang dimenanginya. Saya ulang menang atas tiket BN/Umno.
Masakan kita sudah lupa waktu itu perdana menteri kerajaan PH ialah Dr Mahathir Mohamad, pengerusi Bersatu. Tidak lama kemudian berikutan konflik dalaman Bersatu (antara Mahathir dan penyokongnya dengan Muhyiddin Yassin dan pasukannya), Mahathir dipecat dan surat pemecatan dikeluarkan Hamzah selaku setiausaha agung Bersatu waktu itu.
Kesetiaan Hamzah berpindah kepada Muhyiddin. Iyalah Muhyiddin presiden dan beliau setiausaha agung. Kini, heboh diperkatakan beliau mahu pula menjatuhkan Muhyiddin walaupun pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu tempoh hari memberitahu si presiden di hadapan perwakilan ‘I am your man’.
Bersatu parti kecil pimpinan Muhyiddin diterima menyertai PH (menurut saya kerana faktor Mahathir) dan menang PRU14 bertanding atas tiket PH. Meskipun menang hanya 13 kerusi Parlimen ramai Ahli Parlimen Bersatu dipilih duduk dalam Jemaah menteri kerana pengerusi mereka perdana menteri.
Yusri juga mengingatkan kita Muhyiddin sendiri menang di Pagoh menggunakan simbol PKR. Selepas 22 bulan usia kerajaan PH, Muhyiddin bawa Bersatu keluar untuk bentuk kerajaan baharu dipimpinnya melalui ‘Langkah Sheraton’ hasil komplot bersama sekutu yang bagi saya boleh dianggap oportunis.
Sehingga sekarang, ada pihak percaya Mahathir bertindak letak jawatan sendirian atas perancangan sendiri bermotif tertentu. Beliau menafikan dan sebaliknya menegaskan beliau berbuat demikian kerana hilang sokongan Bersatu partinya sendiri. Ramai juga penyokongnya percaya Mahathir ditikam belakang. wallahuaklam.
Apa pun ingin saya katakan apa yang Yusri huraikan pada awal penulisan ini ialah untuk memperkukuhkan pandangannya akan wujudnya ‘aktor-aktor politik yang bijak mengintai, mencatur dan mengambil peluang’ dalam kalangan kepimpinan Bersatu.
Itu beliau katakan apabila diminta mengulas konflik terbaru Bersatu rentetan sidang media 29 Sept lalu oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Wan Saiful Wan Jan.
Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu memecat Wan Saiful dan menggantung keahlian seorang lagi pemimpin parti iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal. Ini berhubung isu akuan berkanun atau SD dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti.
Bersatu parti kecil memang tidak boleh diibaratkan sebagai entiti atau struktur politik luas. Ertinya ia tidak boleh digambarkan sebagai empayar. Tetapi, saya pilih juga guna istilah empayar untuk menunjukkan kepimpinan parti sudah bertindak balas terhadap puak yang mahu gulingkan presiden.
Lantas tajuk artikel ini – Empayar menyerang balik. Meminjam tajuk satu episod filem Star Wars – The Empire Strikes Back. ‘This I say despite Bersatu is no empire’.
Kata seorang pemerhati politik, dua-dua Wan – Saiful dan Fayhsal – adalah ‘operative’ Hamzah. Buat kerja nak naikkan Hamzah, termasuklah kumpulkan 120 SD.
Kata Yusri apa yang berlaku ialah ‘tip of the iceberg’. Kecil di atas sangat besar dan melebar di bawah. Tanya beliau adakah blok timbalan presiden akan berdiam diri dan reda Wan Saiful dikorbankan atau mereka akan mengatur gerak baharu?
Orang melihat krisis dalaman Bersatu ini, kata Yusri antara blok presiden (Muhyiddin) dan timbalan presiden (Hamzah). “Pada saya itu hanya di atas kertas,” katanya. Lalu apa yang di bawah kertas?
“Pertembungan sebenar adalah antara blok timbalan presiden dan blok setiausaha agung (Azmin Ali).” Saya setuju.
Lalu berkata seorang kawan: “Bab sailang, potong tang kona, Azmin cekap lagi. Bijak dia guna posisi dan manfaat ruang organisasi melalui lembaga disiplin.”
Berkata pula aktivis media Fathi Aris Omar: “Hamzah Zainudin mesti bertindak segera. Jika perlu minta bantuan, panggil sahaja jentera PAS untuk tolong sekat kemaraan pencabarnya.” PAS menurutnya tak suka Azmin jadi setiausaha agung Perikatan Nasional.
Betullah kata Yusri. ‘Tip of the iceberg’. Bukan Bersatu bergasak dengan Bersatu, PAS pun boleh tumpang semangkuk.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.