
Ketua Pemuda Upko Tuaran Rayner Ebi berkata pimpinan parti itu berpegang kepada autonomi diberikan kepada PH Sabah oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengetuai gabungan terbabit dalam mesyuarat 29 Mei lalu.
“Cadangan menggunakan logo parti bukan soal kesetiaan, tetapi strategi politik mengambil kira identiti dan sentimen tempatan.
“PH Sabah sentiasa mengamalkan semangat perbincangan dan konsensus,” katanya seperti dilaporkan Jesselton Times.
Kenyataan Rayner itu menyusul selepas Ketua PKR Tuaran Razeef Rakimin meminta Upko membatalkan niat menggunakan logo sendiri pada PRN kerana ia memberi gambaran seolah-olah parti itu sedang bersiap sedia untuk ‘melompat’ keluar daripada PH.
Menurutnya, cadangan itu turut menimbulkan keraguan dalam kalangan rakan komponen dan penyokong PH terhadap kesetiaan Upko yang menyertai gabungan pada 2021.
Sabtu lalu, Presiden Upko Ewon Benedick berkata partinya mengemukakan cadangan kepada Majlis Presiden PH untuk menggunakan lambang sendiri pada PRN Sabah.
Ewon juga adalah ketua PH Sabah. Pada PRN Sabah 2020, parti itu bertanding di 12 kawasan dengan logo sendiri dan menang satu kerusi di DUN Kadamaian.
Rayner turut mengingatkan yang PKR sendiri pernah menggunakan logo parti pada PRN Johor 2022 manakala Amanah dan DAP ketika itu menggunakan logo PH.
“Contoh itu menunjukkan PH terbuka terhadap strategi berbeza di bawah satu payung kerjasama.
“Maka, isu kesetiaan tidak sepatutnya timbul,” katanya.