Pemimpin PKR Sabah gesa Upko batal niat guna logo sendiri

Pemimpin PKR Sabah gesa Upko batal niat guna logo sendiri

Cadangan Upko menimbulkan keraguan dalam kalangan rakan komponen dan penyokong PH terhadap kesetiaan parti itu yang menyertai gabungan pada 2021.

Ketua PKR Tuaran Razeef Rakimin berkata cadangan Presiden Upko Ewon Benedick untuk menggunakan logo sendiri ‘melucukan’.
PETALING JAYA:
Pemimpin PKR Sabah menggesa Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) membatalkan niat menggunakan logo sendiri pada PRN kerana ia memberi gambaran seolah-olah parti itu sedang bersiap sedia untuk ‘melompat’ keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Ketua Bahagian Tuaran, Razeef Rakimin, berkata cadangan itu turut menimbulkan keraguan dalam kalangan rakan komponen dan penyokong PH terhadap kesetiaan Upko yang menyertai gabungan pada 2021.

“Dan hari ini mereka sendiri sedang mempertimbang untuk menggunakan logo sendiri?

“Tindakan ini menimbulkan keraguan terhadap rakan komponen serta penyokong PH yang melihat ia sebagai langkah persediaan Upko untuk melompat secara en-bloc jika sesuatu berlaku,” katanya kepada FMT.

Razeef berkata, tindakan itu juga dilihat ‘melucukan’ apabila seseorang yang sebelum ini ‘gila-gila’ mahu menjadi pengerusi PH Sabah tidak yakin dengan logo gabungan tersebut.

“Kita tidak minta Upko keluar dari PH tapi sebaiknya batalkan niat atau cadangan menggunakan logo sendiri,” katanya memaklumkan pandangan diberikan bersifat peribadi.

Semalam, Presiden Upko Ewon Benedick mengemukakan cadangan kepada Majlis Presiden PH untuk menggunakan lambang sendiri pada PRN Sabah.

Ewon berkata, perkara itu bagaimanapun masih di peringkat perbincangan.

Beliau berkata, tindakan mengemukakan cadangan itu kerana mahu gabungan tersebut mempunyai penonjolan kepada semangat Sabah.

FMT menghubungi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Mustapha Sakmud, dan menunggu maklum balasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.