Kedudukan Shahelmey bergantung pada rundingan kerusi antara parti

Kedudukan Shahelmey bergantung pada rundingan kerusi antara parti

Shahelmey Yahya sambut baik pertimbangan GRS mengenai hasrat mewakili gabungan itu pada pilihan raya kerusi DUN.

Shahelmey Yahya
Shahelmey Yahya antara tujuh Adun Umno yang menyokong Hajiji Noor ketika cubaan menyingkirkannya sebagai ketua menteri pada 2023.
PETALING JAYA:
Kedudukan Shahelmey Yahya selaku Ahli Parlimen bergantung pada hasil perbincangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menurut wakil rakyat Putatan itu sendiri.

Dihubungi FMT, Shahelmey berkata beliau menyambut baik pertimbangan GRS mengenai hasrat mewakili gabungan itu pada pilihan raya kerusi DUN.

Di peringkat negeri, Shahelmey menyandang kerusi Tanjung Keramat. Bulan lalu, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata Shahelmey perlu mengosongkan kerusi Parlimen Putatan jika bertanding atas tiket GRS pada PRN kelak, selaras undang-undang antilompat parti.

“Pengerusi GRS ada membuat kenyataan berkenaan pertimbangan GRS bagi saya… Saya menyambut baik kenyataan tersebut dan amat menghargainya serta faham bahawa sebarang keputusan akan dibuat kelak setelah kata sepakat di dalam perundingan selesai,” katanya.

Sebelum pembubaran DUN yang diumumkan pada 6 Okt lepas, Shahelmey merupakan timbalan kepada ketua menteri Sabah, Hajiji Noor, yang juga pengerusi GRS.

Shahelmey antara tujuh Adun Umno yang menyokong Hajiji ketika cubaan menyingkirkannya sebagai ketua menteri pada 2023.

Shahelmey memberitahu FMT bahawa beliau memang sedang pertimbang menyertai PRN Sabah, namun itupun bergantung pada hasil rundingan antara parti.

“Saya juga faham bahawa rundingan formula agihan kerusi antara parti-parti bagi pilihan raya Sabah masih sedang berlangsung dan akan dimuktamadkan kelak. Sehubungan itu, saya mengambil pendirian untuk menanti perkembangannya dan pengumuman selanjutnya,” katanya.

Semalam Hajiji memaklumkan Shahelmey dan penyandang DUN Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy menyuarakan hasrat untuk mewakili gabungan itu atau bertanding menggunakan tiketnya.

Shahelmey menang DUN Tanjung Keramat dan Parlimen Putatan atas tiket BN, namun keahliannya digantung Umno selama enam tahun sejak Mac 2023, akibat menyokong pentadbiran Hajiji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.