

Namun, Arvin Tajari dan Syahruddin Awang Ahmad berpendapat Upko ‘terpaksa’ berbuat demikian mungkin selepas mengambil kira faktor sentimen ‘Sabah for Sabahans’ dan bimbang logo PH berasal dari Semenanjung tidak mampu memikat pengundi.
“(Cadangan Upko) Tidak logik, tetapi jika lihat kepada sentimen pengundi, cadangan itu ada ada asas kuat kerana sentimen antara parti lokal dan parti nasional sangat tinggi kali ini berbanding sebelumnya,” kata Arvin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Syahruddin, penyelidik dari Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES) pula berpandangan cadangan Ewon yang menjadi ketua PH Sabah pada Disember tahun lalu, dipercayai berkait usahanya meluaskan jajahan Upko di negeri berkenaan.
“Sentimen kebangsaan Sabahan yang berakar umbi menyebabkan pengundi lebih selesa dengan jenama parti tempatan,” katanya kepada FMT.
“Upko ingin mengelakkan persepsi mereka dikuasai oleh PH, sebaliknya mahu tonjolkan perjuangan mereka berpaksikan Sabah dan penggunaan logo sendiri adalah manifestasi politik tersebut.”
Sebelum pembubaran DUN minggu lalu, Upko mempunyai satu kerusi disandang Ewon di DUN Kadamaian. Bagi Parlimen pula, parti itu diwakili Ewon (Penampang) dan Madius Tangau (Tuaran) dimenangi atas tiket PH yang disertainya pada 2021, setahun sebelum PRU15.
Kelmarin, Ewon berkata parti itu mengemukakan cadangan kepada Majlis Presiden PH untuk menggunakan lambang sendiri pada PRN Sabah kerana mahu gabungan tersebut mempunyai penonjolan kepada semangat negeri.
Perkembangan itu menyusul ketika PH sedang berunding dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bertanding 23 kerusi di mana pemerhati politik berpendapat tuntutan tersebut tidak mengambil kira semangat tempatan.
Menyifatkan cadangan itu sebagai janggal dan sukar difahami, Arvin berkata perkembangan berkenaan memberi gambaran ketua PH Sabah sendiri tidak yakin dengan kekuatan jentera gabungan tersebut.
Arvin juga memberi amaran tindakan itu jika dibenarkan Majlis Presiden PH mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan pengundi mengenai kekuatan gabungan, sedangkan ‘jenama PH’ boleh dikatakan kukuh di arena politik nasional.
“Langkah itu boleh menimbulkan persepsi PH masih lemah untuk menawan hati pengundi Kadazan-Dusun-Murut-Rungus (KDMR) dan Cina – dua kumpulan penting dalam PRN Sabah,” katanya.