
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Engage, Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (Rose), Persatuan Bertindak Pilihan Raya Bebas dan Saksama (Tindak), Projek Stabiliti dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama) menyeru Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyokong cadangan dua wakil rakyat berkenaan hal ini.
Jelas mereka, kemudahan sama harus diperluaskan kepada pengundi Sarawak yang berada di luar Sarawak bagi PRN Sarawak akan datang.
Dalam pada itu, mereka mengingatkan bahawa seperti seruan ini dibuat sejak 2011 lagi.
“Malangnya 14 tahun sudah berlalu, tiga PRU dan enam PRN sudah berlaku, keperluan pengundi Borneo yang miskin tidak diendahkan oleh kerajaan persekutuan, kerajaan Sabah dan Sarawak — tak kira parti mana memerintah — serta SPR yang tidak dapat empati kesempitan orang susah Sabah dan Sarawak yang meninggalkan negeri sendiri demi mencari gaji minimum di bumi orang,” menurut kenyataan.
Ahli Parlimen Lee Chean Chung (Petaling Jaya) dan Wilfred Madius Tangau (Tuaran) menyarankan SPR mempertimbangkan pelaksanaan undi pos untuk warga Sabah di luar Sabah mengundi pada PRN, pada Khamis.
Pada Jumaat, SPR mengumumkan permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi PRN Sabah ke-17 akan dibuka bermula Isnin, kepada anggota polis, tentera, petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, dan petugas media, serta warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dan agensi atau organisasi.
Kumpulan NGO menjelaskan tanpa kemudahan undi awal atau undi pos, pengundi perantau Sabah dan Sarawak mengghadapi dilema yang merugikan, iaitu melepaskan hak untuk mengundi di negeri sendiri dengan menular alamat, membayar tambang tinggi untuk pengangkutan, dan melepaskan hak mengundi kerana kurang upaya kewangan untuk pulang mengundi.
Menuju PRN Sabah, mereka menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan SPR menyatakan sama ada mereka menyokong hak pengundi Sabah di luar Sabah untuk mengundi melalui kemudahan undi awal atau undi pos.
“Hak untuk mengundi mesti dijamin sepenuhnya kepada semua warganegara tanpa mengira lokasi,” kata mereka.
“Sebarang usaha untuk memudahkan rakyat menunaikan hak demokrasi ini harus disokong dan diperkukuh dengan prinsip ketelusan, keadilan, dan kesaksamaan.”
PRN Sabah ke-17 mesti diadakan selewat-lewatnya pada 5 Disember berikutan pembubaran DUN pada 6 Oktober.
Awal tahun ini, Pengerusi PKR Sabah Mustapha Sakmud menggesa SPR membenarkan pengundian pos untuk rakyat Sabah yang tinggal di luar negeri.