
Susulan itu, Presiden Usno Pandikar Amin Mulia juga secara rasminya meletakkan jawatan sebagai timbalan pengerusi GRS dan semua jawatan berkaitan kerajaan negeri.
Usno dalam satu kenyataan di Facebook berkata peletakan jawatan itu dinyatakan secara rasmi semasa pertemuan bersama Ketua Menteri Hajiji Noor yang juga pengerusi GRS semalam.
“Keputusan presiden Usno itu juga disahut secara sebulat suara dalam mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi hari ini untuk keluar daripada gabungan GRS.
“Antara justifikasi awal keputusan ini ialah disebabkan sudah tidak wujudnya keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan khususnya selepas PRN Sabah,” kata kenyataan itu.
Katanya, Usno akan mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik yang berteraskan perjuangan pribumi lokal Sabah dan akan komited dalam proses semak dan imbang.
“Usno juga mengucapkan terima kasih kepada pengerusi GRS serta semua rakan komponen GRS atas kebersamaan sebelum ini.
“Usno berjanji akan terus memperjuangkan aspirasi rakyat yang terpinggir,” katanya.
Usno menyertai GRS pada Mei 2022 di bawah pimpinan Pandikar yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Pada PRN Sabah November lalu, Pandikar bertanding kerusi Pintasan namun tewas kepada calon bebas Fairuz Renddan, yang sebelum ini ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah.
Fairuz memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 1,070 undi.
Pada 2020, Pandikar turut tewas di kerusi sama kepada Fairuz, yang ketika itu bersama Bersatu, dengan majoriti 84 undi.