Hasil sektor petroleum 2026 dijangka susut kepada RM43 bilion

Hasil sektor petroleum 2026 dijangka susut kepada RM43 bilion

Kementerian Kewangan berkata penurunan dividen Petronas dan harga minyak mentah dunia akan menjejaskan hasil petroleum negara.

oil rig petronas
Kementerian Kewangan berkata Petronas dijangka menyumbang dividen sebanyak RM20 bilion kepada kerajaan pada 2026. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Hasil kerajaan daripada sektor petroleum dijangka terus berkurang pada 2026 kepada RM43 bilion, bersamaan 12.5% daripada jumlah hasil kerajaan.

Penurunan ini disebabkan harga minyak mentah dunia yang rendah dan pengurangan dividen daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), Petronas dijangka membayar dividen sebanyak RM20 bilion tahun depan, manakala cukai pendapatan petroleum (PITA) dianggarkan RM15.7 bilion dan royalti petroleum sebanyak RM5.1 bilion.

Awal tahun ini, laporan media menyebut kerajaan menjangka Petronas mengekalkan bayaran dividen sebanyak RM32 bilion walaupun keuntungan syarikat itu susut 32% pada 2024.

Dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2026 dikeluarkan hari ini, MoF berkata penurunan hasil petroleum menunjukkan usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan berasaskan komoditi tidak stabil dan beralih kepada sumber pendapatan lebih luas serta mampan.

Sebaliknya, hasil bukan petroleum terus meningkat sejak 2009 dan dijangka naik 8.1% kepada RM300.1 bilion, disokong pelaksanaan penuh dasar dan cukai baharu.

“Peralihan kepada sumber hasil lebih luas dan mampan ini selaras usaha kerajaan menambah keupayaan hasil, mengawal perbelanjaan serta memastikan perlindungan sosial dan pembangunan berterusan,” kata kementerian itu.

Sementara itu, kerajaan juga dijangka menerima RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk menampung sebahagian bayaran pencen, serta RM3 bilion hasil sekali daripada pemindahan hak milik Lembaga Pelabuhan Bintulu.

Hasil daripada lesen dan permit pula dijangka kekal stabil pada RM15.7 bilion, kebanyakannya daripada lesen kenderaan bermotor (RM3.4 bilion) dan levi pekerja asing (RM3.8 bilion).

Kutipan cukai langsung dijangka meningkat 5.8% kepada RM187.4 bilion, dipacu oleh cukai syarikat dan cukai individu yang lebih tinggi.

Cukai pendapatan syarikat (Cita) kekal sebagai penyumbang terbesar pada RM103.4 bilion, manakala cukai individu dianggarkan RM49.1 bilion.

Peningkatan hasil cukai syarikat dijangka didorong oleh pelaksanaan penuh sistem e-invois dan pertumbuhan ekonomi lebih baik, manakala peningkatan cukai individu berpunca daripada pasaran kerja stabil serta kenaikan gaji penjawat awam.

Cukai tidak langsung pula dijangka meningkat 8.9% kepada RM83 bilion, dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menyumbang bahagian terbesar iaitu RM59.6 bilion (71.8%).

Duti eksais pula meningkat kepada RM12.8 bilion selepas pengecualian untuk kenderaan elektrik siap bina ditarik balik.

Hasil bukan cukai dijangka kekal stabil pada RM72.7 bilion, disokong oleh pendapatan pelaburan dan sumber tetap seperti lesen serta permit.

Secara keseluruhan, jumlah hasil kerajaan dijangka meningkat 2.7% kepada RM343.1 bilion, dipacu oleh kutipan cukai yang lebih tinggi hasil pelaksanaan reformasi fiskal dan inisiatif pendigitalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.