Kerajaan tangguh setahun lagi e-invois untuk syarikat pendapatan bawah 5 Juta

Kerajaan tangguh setahun lagi e-invois untuk syarikat pendapatan bawah 5 Juta

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ada syarikat masih belum bersedia kerana kos persediaan agak tinggi.

sop kilang
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menaikkan ambang PKS yang tertakluk kepada cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan sewaan daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta jumlah jualan tahunan.
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju menangguhkan sekali lagi pelaksanaan e-invois selama setahun bagi syarikat dengan jumlah jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, yang sebelum ini dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Jan.

Dalam perutusan Tahun Baharunya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ada syarikat ‘masih belum bersedia kerana kos persediaan (untuk e-invois) agak tinggi’.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Jun lalu berkata Kementerian Kewangan memutuskan pelaksanaan e-invois bagi syarikat yang memperoleh pendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta ditangguhkan daripada 1 Julai 2025 kepada 1 Jan 2026.

Bulan lalu, Anwar berkata kerajaan turut memutuskan untuk mengecualikan perniagaan dengan hasil tahunan di bawah RM1 juta daripada pelaksanaan e-invois.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan juga akan menaikkan ambang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tertakluk kepada cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan sewaan daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta jumlah jualan tahunan.

Ini bermakna hanya perniagaan dengan jualan melebihi RM1.5 juta setahun akan dikehendaki membayar cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan sewaan.

Anwar berkata walaupun ambang tersebut sebelum ini dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta, cukai itu masih menjadi beban kepada banyak perniagaan kecil.

“Selepas meneliti perkara ini, kita memutuskan untuk menaikkan pengecualian cukai bagi PKS dengan jumlah jualan tahunan sehingga RM1.5 juta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.