Bayaran balik cukai 2025 cecah RM22.5 bilion

Bayaran balik cukai 2025 cecah RM22.5 bilion

LHDN berkata jumlah itu termasuk peruntukan tambahan bayaran balik berjumlah RM3.5 bilion diterima pada 25 hingga 31 Dis lalu.

lhdn
LHDN akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan bayaran balik cukai yang selesai diproses sepanjang 2025 berjumlah RM22.5 bilion melibatkan 3,713,025 kes.

Dalam kenyataan, LHDN berkata jumlah itu termasuk peruntukan tambahan bayaran balik berjumlah RM3.5 bilion diterima pada 25 hingga 31 Dis lalu.

“Dana tambahan RM3.5 bilion yang diperuntukkan telah selesai diproses untuk dikreditkan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun bayaran balik yang berusia satu ke dua tahun dengan tumpuan diberikan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya menurut Bernama.

Susulan Amanat Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini, LHDN komited menyelesaikan bayaran balik cukai berbangkit dalam Tahun Taksiran 2023 pada suku pertama 2026 dan bayaran balik cukai yang berbangkit dalam Tahun Taksiran 2024 pada hujung 2026.

LHDN juga menasihatkan pembayar cukai mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada LHDN adalah tepat dan terkini bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar.

“Ini kerana terdapat sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses atas sebab kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang betul,” katanya.

Selain itu, LHDN berkata tiada bayaran balik dapat diproses kerana melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain dan syarikat yang layak menerima bayaran telah digulung atau dibubarkan.

“LHDN akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik dan keutamaan turut diberikan kepada amaun tertunggak yang melibatkan PKS,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.