Kerajaan diminta dedah dividen Petronas diguna dalam belanjawan

Kerajaan diminta dedah dividen Petronas diguna dalam belanjawan

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata ia bagi membolehkan rakyat tahu bagaimana dana negara digunakan untuk kepentingan mereka.

petronas-HQ
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata Petronas menyumbangkan berpuluh bilion setiap tahun. (Reuters pic)
KUALA LUMPUR:
Seorang wakil rakyat kerajaan mencadangkan Putrajaya mendedahkan jumlah dividen diberikan Petronas yang digunakan dalam pembentangan belanjawan tahunan.

Hassan Karim (PH–Pasir Gudang) berkata, ia bagi membolehkan rakyat mengetahui bagaimana dana negara digunakan untuk kepentingan mereka.

“Bukan satu rahsia dalam belanjawan negara kita sejak 1974, syarikat Petronas telah sumbangkan berpuluh bilion setiap tahun. Sejak 1974 hingga sekarang, dimaklumkan lebih RM403 bilion Petronas sumbangkan kepada kerajaan persekutuan untuk bajet tahunan. Sebagai contoh, tahun 2018 sahaja sebanyak RM67.6 bilion disumbangkan.

“Jadi, saya nak tanya bagaimana penyata kewangan kerajaan persekutuan bagi tahun 2024, berapa banyak dividen Petronas berikan kepada kerajaan untuk belanjawan negara tahun 2024 dan tahun ini 2025? Menteri perlu kongsi, dan ini bukan OSA (Akta Rahsia Rasmi),” kata Ahli Parlimen PKR ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 di Dewan Rakyat.

Hassan membangkitkan perkara itu memandangkan LKAN yang dibentangkan di Parlimen didakwa tidak menyatakan perkara melibatkan Petronas.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan susulan isu saman antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), memandangkan syarikat tersebut antara penyumbang utama kepada hasil negara.

Sehubungan itu, Hassan mencadangkan kerajaan dedah butiran perjanjian antara kedua-dua syarikat terbabit di Parlimen supaya wakil rakyat dapat memberikan pandangan bagi menyelesaikannya secara baik.

“Saya nyatakan ini sebab kebimbangan tentang nasib Petronas sebagai sebuah syarikat petroleum negara. Syarikat ini macam angsa bertelur emas yang menyumbang untuk bantu Malaysia keseluruhannya. Apa yang saya bimbang, sekarang telah sampai ke mahkamah macam pertarungan adik-beradik dalam keluarga.

“Saya minta perdana menteri sebagai menteri kewangan, dedahkan kepada Ahli Parlimen apakah persetujuan telah dicapai antara beliau dengan premier Sarawak tentang kedudukan Petronas dan Petros untuk makluman semua Ahli Parlimen supaya sama-sama kita tanggung dan selesaikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.