
Menurut kumpulan itu, ketidakjelasan menyukarkan penduduk memahami keutamaan serta perancangan perbelanjaan DBKL bagi tahun depan.
“Setakat ini, tiada maklumat jelas sama ada belanjawan 2026 telah siap, diluluskan menteri Wilayah Persekutuan, atau masih dipertimbangkan,” kata Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA + SD) dalam kenyataan.
Walaupun DBKL telah mengadakan sesi dialog awam berhubung belanjawan pada Jun lepas, persatuan itu mendakwa tiada sebarang sesi libat urus susulan mahupun kemas kini berhubung projek atau inisiatif yang akan dilaksanakan pada 2026.
Penduduk turut tidak dimaklumkan sama ada maklum balas yang dikemukakan ketika sesi dialog tersebut diambil kira dalam cadangan belanjawan atau sekiranya ada sebarang pindaan.
Kumpulan itu turut membangkitkan isu ketelusan kewangan selain menegaskan bahawa laporan belanjawan tahunan DBKL tidak dikemas kini secara konsisten.
Menurutnya, laporan tahunan terakhir yang didedahkan adalah bagi 2022, namun dokumen itu hanya dimuat naik pada Januari 2025.
Sehubungan itu, mereka mendesak DBKL memperincikan status belanjawan 2026 serta memaklumkan fasa dan garis masa kitarannya.
Pihak DBKL turut digesa mendedahkan cadangan belanjawan serta inisiatif utama kepada umum, menjelaskan bagaimana maklum balas rakyat diambil kira, selain menerbitkan laporan tahunan dan maklumat kewangan dengan lebih kerap.