
Syaza Shukri memberi contoh pertikaian dalam beberapa isu sehingga Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dilabel ejen Perikatan Nasional (PN) oleh Ketua Pemuda PH Woh Kah Leong berisiko menjejaskan hubungan dan kerjasama menghadapi pilihan raya.
Akmal dan Woh sering kali terbabit perbalahan dalam beberapa isu antaranya pemasangan Jalur Gemilang serta berkait hubungan Umno-DAP.

Penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkenaan berkata perbincangan mencari titik pertemuan jelas itu juga penting untuk melaksanakan dasar kerajaan jika kedua-dua bergabung menjadi pentadbir Putrajaya atau negeri.
“Lebih baik bincang dari kawasan, negeri dan sehingga pusat, perbincangan di akar umbi penting supaya elak perbezaan pendapat seperti Akmal dengan Woo.
“Namun kita faham setiap negeri mempunyai dinamik sendiri, sebagai contoh mungkin Perak lebih mesra daripada Melaka,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas pengumuman Ketua DAP Perak Nga Kor Ming, semalam yang PH dan BN akan meneruskan kerjasama mereka di Perak pada PRU16.
Nga yang juga naib pengerusi DAP mendakwa Bendahari Umno Perak Sham Mat Sahat mamaklumkannya persetujuan parti itu untuk terus kerjasama yang mula terjalin sejak 2022.
PH-BN membentuk kerajaan Perak dengan gabungan 33 wakil rakyat di DUN. Pada PRU15, BN menang sembilan DUN dan PH menguasai 24 kawasan manakala Perikatan Nasional (PN) pula menawan 26 kerusi.
Kedua-dua juga menjadi sebahagian parti komponen dalam kerajaan perpaduan di peringkat pusat.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berkata kenyataan Nga menunjukkan hubungan DAP-Umno berjalan lancar walaupun ada isu tercetus antara sayap Pemuda itu yang setakat ini tidak mengganggu pentadbiran.
Menurutnya, malah di peringkat persekutuan wujud persefahaman yang menyebabkan perbincangan lancar seperti dalam isu Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar
“Soal tak setuju beberapa isu itu perkara biasa dan boleh bincang,” katanya sambil berkata secara dasarnya kerjasama PH-BN boleh diteruskan lagi.